Kerajaan negeri Terengganu hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) sebagai platform bagi kerajaan negeri merencana, menyelaras dan memantau urusan berkaitan industri minyak dan gas.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata penubuhan TPC berserta terma-terma rujukan umum itu secara dasarnya diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat pada 17 Mei lalu.

"TPC turut diberi mandat untuk mengkaji kemungkinan dan mengenal pasti potensi manfaat untuk rakyat dan kerajaan negeri Terengganu di sepanjang nilai rantaian industri minyak dan gas di negeri ini," katanya pada sidang media pengumuman penubuhan TPC di sini.

TPC dinaungi oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan dipengerusikan oleh Menteri Besar.

Ahmad Razif berkata TPC juga akan melihat isu kelestarian sumber minyak dan gas dalam usaha kerajaan negeri memaksimumkan hayat sumbangan sektor ini secara berterusan kepada pendapatan hasil negeri.

"Di samping itu, TPC juga akan memberi keutamaan kepada usaha merancakkan penglibatan anak tempatan dalam industri minyak dan gas di Terengganu.

"Ia juga akan melibatkan aspek pembangunan sumber tenaga, pembinaan kepakaran teknikal dan pembentukan peluang pekerjaan untuk anak Terengganu dalam industri minyak dan gas," katanya.

Buat masa ini pejabat TPC akan ditempatkan di Wisma Darul Iman, katanya menambah tarikh pelancaran rasmi TPC akan ditetapkan kemudian.

"Pengumuman ini untuk membuka jalan kepada TPC memulakan operasi dan menjalankan kerja-kerja awal dengan segera," katanya.

-- BERNAMA