NATIONAL
Tergamak buang mayat bayi dalam mangkuk tandas stesen minyak

Mayat bayi yang ditemui terlangkup dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani di sini pada tengah hari Ahad. - Foto Sinar Harian
SABAK BERNAM: Seorang bayi ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani di sini pada tengah hari Ahad.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas orang awam menemui mayat bayi berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia pada jam 11.15 pagi.
"Polis sedang giat mengesan individu dan suspek utama yang terlibat dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Beliau menegaskan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani, di talian 018-2510452.
Sebelum ini, kejadian itu tular di Facebook apabila beberapa pengguna memuat naik hantaran dan gambar lokasi kejadian.
Kejadian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan berkenaan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami