KUALA LUMPUR:Orang ramai diminta supaya tidak keliru dengan pengedaran borang palsu berhubung persetujuan menerima suntikan vaksin COVID-19 yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan borang yang kononnya akan digunakan bagi program imunisasi itu bukanlah dokumen persetujuan yang sudah dimuktamadkan.

Katanya, pemberian suntikan vaksin COVID-19 adalah untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 serta mengurangkan kesan seseorang mendapat penyakit itu.

"Memandangkan pemberian suntikan vaksin COVID-19 adalah secara sukarela, borang persetujuan suntikan vaksin COVID-19 adalah dokumen yang digunakan untuk diberi kepada penerima vaksin bagi mereka menyatakan persetujuan penerimaan vaksin dengan rela hati.

"Borang persetujuan juga digunakan di negara lain yang melaksanakan Program Imunisasi COVID-19.

"Penerimaan vaksin ini adalah secara opt-in di mana penerima vaksin yang bersetuju untuk menerima vaksin perlu menandatangani borang ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Noor Hisham menambah, kandungan dalam dalam borang persetujuan itu nanti bertujuan memastikan penerima vaksin memahami sepenuhnya apa yang dibaca atau diterangkan oleh anggota kesihatan mengenai manfaat dan risiko vaksin.

Katanya, semua vaksin yang memasuki Malaysia akan dinilai terlebih dahulu dari segi kualiti, keberkesanan dan keselamatannya oleh pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Tambah beliau, selain itu, pelaporan yang diperoleh dari negara-negara yang sudah melaksanakan pemberian vaksin COVID-19, ia didapati selamat digunakan.

"KKM ingin memaklumkan bahawa borang persetujuan suntikan vaksin COVID-19 yang muktamad akan diedarkan kepada bakal penerima vaksin dalam tempoh terdekat, bermula dengan penerima vaksin bagi fasa pertama.

"Sehubungan dengan itu, masyarakat diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa borang persetujuan berkenaan yang antara lain menyatakan perakuan pihak yang menandatangani borang berkenaan bertanggungjawab terhadap risiko yang mungkin berlaku akibat keputusan atau tindakan mereka kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingan.

Pun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi media sosial rasminya memaklumkan bahawa dokumen didakwa Borang Persetujuan Suntikan COVID-19 itu adalah imej dan berita palsu kerana ia tidak dikeluarkan oleh kementerian itu.