Ketidakhadiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Hari Hak Asasi Manusia 2018 di Petaling Jaya hari ini nyata menarik perhatian lebih ramai orang untuk melihat sendiri sambutan program itu.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Razali Ismail, berkata keputusan Perdana Menteri itu menyebabkan semakin ramai orang tertanya-tanya, dan mahu hadir ke program itu.

"Ramai orang datang bertanyakan pelbagai soalan dan menunjukkan minat dalam pelbagai isu membabitkan hak asasi manusia dan dewan juga penuh (ketika majlis perasmian)," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 di sini, hari ini.

Semalam polis mengarahkan Sambutan Hak Asasi Manusia 2018 yang dijadualkan berlangsung semalam, ditunda ke hari ini atas faktor risiko keselamatan.

Ia berikutan himpunan kesyukuran meraikan keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD yang diadakan di Dataran Merdeka, semalam.

Diminta mengulas mengenai komitmen Kerajaan Pakatan Harapan dalam memperjuangkan hak asasi manusia, Razali berkata, walaupun mereka tidak mahu ICERD, tetapi keadaan kini tetap berbeza kerana adalah lebih mudah berurusan dengan kerajaan hari ini.

“Tiada protokol untuk berjumpa mereka (kerajaan kini). Berbeza dengan dahulu, agak sukar untuk kami bertemu dengan mana-mana menteri Barisan Nasional (BN). Dan semuanya datang dari atas.

“Bagaimana mereka mahu memahami aspirasi dan kemahuan rakyat jika kamu sendiri tak ingin berjumpa dengan mereka?” soalnya lagi.

Razali berkata, BN hanya menggunakan Suhakam sebagai ‘hiasan’ untuk memberitahu dunia bahawa Malaysia memang mempunyai suruhanjaya khas untuk memperjuangkan hak asasi rakyatnya.

“Tetapi mereka langsung tidak komited untuk memperjuangkan perkara itu,” katanya lagi.