KUALA LUMPUR: Terimaan pelancongan negara merekodkan kemerosotan 71.2 peratus daripada RM182.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM52.4 bilion.

Menurut kenyataan media Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berhubung penemuan Akaun Satelit Pelancongan 2020 itu pada Khamis, prestasi pelancongan negara pada tahun lepas terjejas akibat sekatan perjalanan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Tahun 2020 merupakan tahun kedua yang mana sumbangan, pelancongan domestik kepada terimaan pelancongan negara mengatasi perbelanjaan dalam pelancongan inbound dengan merekodkan 73.8 peratus,” kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Daripada jumlah tersebut, pelancongan domestik menjana terimaan pelancongan sebanyak RM38.6 bilion dengan penyusutan sebanyak 58.3 peratus berbanding tahun 2019.

Manakala perbelanjaan pelancongan inbound turut merosot dengan penurunan dua digit sebanyak 84.6 peratus dengan hanya merekodkan RM12.7 bilion.

Sementara itu, perbelanjaan outbound pula merekodkan penurunan sebanyak 61.7 peratus dengan jumlah RM17.1 bilion.

Pada masa yang sama, industri pelancongan telah menjana Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI) sebanyak RM199.4 bilion dengan menyumbang sebanyak 14.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), namun merekodkan penyusutan 17.1 peratus berbanding pertumbuhan 9.1 pada tahun sebelumnya.

“Dari segi nilai, paras sumbangan ini dilihat berkurang sehingga menyamai prestasi yang direkodkan pada tahun 2015, susulan kawalan pengoperasian aktiviti ekonomi oleh kerajaan terhadap sektor pelancongan dalam mengawal penularan COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sumbangan pelancongan langsung kepada ekonomi negara (TDGDP) turut terjejas teruk dengan mencatatkan penurunan sebanyak 72.0 peratus pada 2020.

Namun, guna tenaga dalam industri pelancongan menyusut pada kadar yang lebih rendah iaitu 2.9 peratus, antaranya disumbangkan oleh inisiatif Subsidi Gaji dan Upah.

Secara keseluruhan, akaun tersebut mendapati sektor pelancongan pada 2020 masih mampu menyerap tekanan tinggi daripada permintaan yang lemah.

“Usaha menggiatkan aktiviti pelancongan domestik perlu menjadi fokus dalam memulihkan sektor pelancongan negara bagi menangani sekatan berpanjangan di pintu masuk sempadan negara yang masih berkuat kuasa dan menjejaskan potensi pendapatan daripada pelancong asing.”

BACA: Sudah boleh balik kampung dengan syarat 90 peratus vaksinasi dewasa

BACA: Tiga lagi destinasi pelancongan disasar dibuka semula 1 Oktober - Nancy

BACA: Projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi mula tunjuk kejayaan - Nancy


Namun, bergerak ke hadapan, kata Uzir, World Tourism Organization (UNWTO) meramalkan bahawa sektor pelancongan akan kembali kepada prestasi pra-pandemik pada tahun 2024 dengan sebahagian besarnya dipacu oleh aktiviti pelancongan domestik.


Pelancongan | Tiga lagi destinasi pelancongan dibuka

Bagi Malaysia, pemulihan ini disokong oleh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang membolehkan pembukaan sektor sosial dan ekonomi dan pembukaan gelembung pelancongan (travel bubble) serta peralihan kepada digitalisasi.

“Industri pelancongan Malaysia harus terus memberi fokus kepada digitalisasi dan pengembangan produk dan infrastruktur pintar sebagai inisiatif untuk membangun masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari di Malaysia seperti disarankan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).”