[TERKINI] Banjir: Seksyen 19, Seksyen 24, Persiaran Jubli di Shah Alam antara jalan ditutup sepenuhnya
![[TERKINI] Banjir: Seksyen 19, Seksyen 24, Persiaran Jubli di Shah Alam antara jalan ditutup sepenuhnya [TERKINI] Banjir: Seksyen 19, Seksyen 24, Persiaran Jubli di Shah Alam antara jalan ditutup sepenuhnya](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41763969803_banjirShahAlam.jpg)
MBSA memberitahu, antara jalan terjejas melibatkan Jalan Seksyen 19; Seksyen 24 menghala ke Seksyen 23; Persiaran Jubli Perak dan Persiaran Perusahaan. - Foto Instagram MBSA
KUALA LUMPUR : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan beberapa laluan di sekitar bandar raya itu ditutup sepenuhnya berikutan kenaikan paras air yang tidak selamat untuk dilalui.
Dalam satu hantaran di Instagram, kira-kira pukul 1 tengah hari tadi, MBSA memberitahu, antara jalan terjejas melibatkan Jalan Seksyen 19; Seksyen 24 menghala ke Seksyen 23; Persiaran Jubli Perak dan Persiaran Perusahaan.
"Sehubungan itu, MBSA menasihati orang ramai supaya berhati-hati serta menggunakan laluan alternatif bagi memastikan keselamatan," katanya dalam hantaran itu di sini, pada Isnin.
Terdahulu, MBSA turut memaklumkan beberapa kawasan di Shah Alam dinaiki air termasuk Taman Desa Kemuning (Seksyen 35), Kampung Budiman (Seksyen U14), Kampung Kubu Gajah (Seksyen U17), Giant Seksyen 13, Taman Sri Lembayung (Seksyen 25), Jalan Opera dan Seksyen U2.
Antara kawasan lain yang turut dilaporkan dinaiki air ialah Persiaran Jubli Perak (Seksyen 19), Jalan Mat Raji di Seksyen 16 Padang Jawa, Jalan Mantap 25/126, Jalan Sentosa 25/129, Persiaran Budiman di Seksyen 25 serta Persiaran Perusahaan di Seksyen 23.
Selain Shah Alam, beberapa kawasan di Klang turut berdepan situasi sama termasuk Kampung Delek, Kapar dan Meru.
Pada masa sama, lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di empat daerah bagi menempatkan 110 mangsa daripada 30 keluarga.
PPS yang beroperasi ialah Dewan Sri Sekinchan dan Dewan Sri Bernam di Sabak Bernam; Pusat Perkhidmatan JKKK Kampung Jaya Setia di Bestari Jaya; Sekolah Kebangsaan Sungai Serai di Hulu Langat serta yang terbaharu dibuka di Masjid Al Falah Kampung Budiman di Shah Alam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


