MALAYSIA
TERKINI HAJI 2025: Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

Jemaah haji Syed Baharom Syed Hussin, 72 tahun, dari Alor Setar, Kedah, meninggal dunia pada jam 4.53 pagi, 7 Jun, di Hospital Mina Al Wadee. - Foto Tabung Haji
MEKAH: Seorang lagi jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di Tanah Suci, menjadikan jumlah keseluruhan kematian bagi musim haji 1446 Hijrah/2025 Masihi setakat ini seramai sembilan orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Allahyarham Syed Baharom Syed Hussin, 72 tahun, dari Alor Setar, Kedah, telah menerima rawatan akibat serangan jantung di khemah di Mina sebelum dibawa ke hospital.
Allahyarham disahkan meninggal dunia pada Sabtu, 7 Jun 2025, jam 4.53 pagi di Hospital Mina Al Wadee.
Menurutnya dalam satu kenyataan, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memaklumkan berita pemergian Allahyarham kepada waris di Malaysia dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga.“TH dan saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” kata Mohd Na’im.
Dalam pada itu, TH akan terus memantau tahap kesihatan semua jemaah Malaysia di Tanah Suci dan menasihatkan agar mereka sentiasa menjaga kesihatan.
Mereka juga diingatkan supaya mematuhi arahan petugas serta tidak memaksa diri dalam melaksanakan ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal seperti melontar di jamrah, khususnya dalam keadaan cuaca panas yang ekstrem.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami