KUCHING: Kurang 24 jam selepas diisytihar "darurat", tahap udara di Bahagian Serian mula menampakkan tanda-tanda positif pagi Sabtu.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) sekitar jam 6 pagi tadi, stesen IPK Serian yang merekodkan bacaan IPU 521 semalam, kini mencatat bacaan 413.
Malah hujan lebat dan angin kuat yang melanda Kuching, Samarahan dan Sri Aman dalam tempoh 12 jam yang lalu, turut memberi impak, apabila indeks kedua-dua kawasan itu menurun kepada 286, 279 dan 261 masing-masing.
Sebanyak sembilan lokasi di Sarawak bagaimanapun, masih berada pada tahap tidak sihat, iaitu di bawah IPU 200, termasuk Samalaju, Bintulu, Mukah dan Sarikei.
Meskipun keadaan tidak menentu, orang ramai dinasihatkan agar terus menggunakan pelitup muka apabila keluar rumah, sambil mengelakkan aktiviti luar dan banyak minum air.
Selain jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka dan pembersihan ladang, kebanyakannya dari negara jiran, Sarawak turut berhadapan keadaan cuaca kering akibat fenomena Super El Nino, selain hujan lebat dan angin kuat.
Sementara itu, selepas perintah darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Jumaat, satu mesyuarat Penyelarasan Operasi Bencana Darurat akan berlangsung di Pejabat Residen Serian pada jam 9.30 pagi ini.
Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Premier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.