[TERKINI] Jumlah mangsa terus meningkat, Terengganu kembali dilanda banjir
![[TERKINI] Jumlah mangsa terus meningkat, Terengganu kembali dilanda banjir [TERKINI] Jumlah mangsa terus meningkat, Terengganu kembali dilanda banjir](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61764125546_mangsabanjirtere.jpg)
Di Terengganu, banjir melibatkan dua daerah, Marang dan Besut, dengan 153 mangsa daripada 45 keluarga dipindahkan ke 10 PPS setakat 8 pagi ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kebanyakan negeri pada pagi ini terus meningkat, dengan Terengganu kembali dilanda bencana itu, manakala hanya Pahang mencatatkan penurunan.
Ringkasan AI
- Terengganu dilanda banjir; jumlah mangsa banjir meningkat kepada 9,615 orang dari 3,643 keluarga, dengan empat jajahan terjejas seperti Tanah Merah dan Gua Musang.
- Perlis dan Kedah turut mengalami kenaikan mangsa banjir; Perlis mencatatkan 6,087 orang di 20 PPS, manakala Kedah mencatatkan 3,049 orang di 17 PPS dengan daerah Kubang Pasu paling terjejas.
- Selangor dan Terengganu juga terkesan dengan banjir; Selangor mencatatkan 2,970 mangsa di 23 PPS, manakala Terengganu melibatkan 153 mangsa daripada 45 keluarga di Marang dan Besut.
Di PERLIS, jumlah mangsa banjir mengalami peningkatan menjadi 6,087 orang setakat pagi ini dengan penambahan tiga lagi PPS berbanding 5,244 mangsa yang berada di 17 PPS malam tadi.
Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, kesemua mangsa banjir melibatkan kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar itu kini ditempatkan di 20 PPS setakat pukul 8 pagi ini.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,049 orang daripada 1,021 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,629 orang daripada 543 keluarga dari Kubang Pasu dan Kota Setar yang ditempatkan di 17 PPS.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,247 orang daripada 783 keluarga dan ditempatkan di 15 PPS manakala Kota Setar, seramai 802 orang daripada 238 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Sementara itu, laman web rasmi Public Banjir memaklumkan 10 sungai di Kedah telah melepasi tahap bahaya antaranya Sungai Anak Bukit dengan 3.37 meter (m), Sungai Padang Terap (4.55m), Sungai Perik (14.53m), Sungai Bata (11.2m) dan Wang Tepus (10.339m).
Di SELANGOR, jumlah mangsa juga meningkat kepada 2,970 individu daripada 799 keluarga berbanding 2,773 individu membabitkan 749 keluarga malam tadi dengan jumlah PPS kekal 23 di tujuh daerah terbabit banjir.
Semakan di Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menunjukkan hanya tiga sungai melepasi paras bahaya iaitu di Jambatan SKC Hulu Selangor (19.67m), pekan Meru, Klang (4.42m) dan Pintu Air Ijok, Kuala Selangor (4.21m).
Sementara di TERENGGANU, banjir kembali melanda negeri itu melibatkan dua daerah, Marang dan Besut dengan membabitkan sebanyak 153 mangsa daripada 45 keluarga yang dipindahkan ke 10 PPS setakat 8 pagi ini.
Berdasarkan laman sesawang InfoBencana Jabatan Masyarakat (JKM), sebanyak 63 mangsa daripada 16 keluarga dari daerah Marang ditempatkan di lima PPS, manakala di Besut pula, sebanyak 90 mangsa daripada 29 keluarga turut berlindung di lima PPS.
Laman sesawang Public Banjir menunjukkan paras air Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut telah melepasi tahap waspada.
Di PULAU PINANG, mangsa banjir kekal 50 orang daripada 11 keluarga di satu-satunya PPS yang masih aktif di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), menurut Pusat Kawalan Bencana Negara yang dikemas kini setakat 6 pagi tadi.
Di PAHANG, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub Samasuddin Kambade berkata seramai 23 mangsa daripada 11 keluarga yang ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Ulu Sungai, Raub sejak semalam telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pagi ini berikutan banjir pulih sepenuhnya.
Menurut Infobencana JKM, seramai 19 mangsa daripada lapan keluarga masih kekal berlindung di PPS Dewan Seberguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

