[TERKINI] PRN Sabah: Harun Durabi tekad jadikan Bengkoka sebagai daerah kecil, pembangunan belia
![[TERKINI] PRN Sabah: Harun Durabi tekad jadikan Bengkoka sebagai daerah kecil, pembangunan belia [TERKINI] PRN Sabah: Harun Durabi tekad jadikan Bengkoka sebagai daerah kecil, pembangunan belia](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51764124180_HarunDurabiPRNSa.jpg)
Harun berkata penubuhan daerah kecil Bengkoka dijangka memberi manfaat kepada banyak pihak termasuk dari segi pembangunan modal insan dan golongan belia di kawasan tersebut. - Foto FB Harun Durabi
KUDAT: Datuk Harun Durabi berhasrat merealisasikan beberapa agenda pembangunan termasuk menjadikan kawasan itu sebagai sebuah daerah kecil, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ringkasan AI
- Datuk Harun Durabi berhasrat menjadikan Bengkoka sebagai sebuah daerah kecil jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, dengan matlamat memudahkan urusan rakyat dan mempercepat pembangunan di kawasan tersebut.
- Beliau merancang untuk menubuhkan daerah kecil Bengkoka dan pusat latihan kemahiran untuk belia, dengan harapan ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia di kawasan tersebut.
- Harun mengenal pasti lima jalan utama di Bengkoka yang perlu diberi perhatian segera, termasuk jalan-jalan pertanian, sebagai usaha untuk memajukan ekonomi tempatan dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.
"Selepas ini Insya-Allah, saya mengharapkan mudah-mudahan kerajaan kita akan ditadbir dengan baik dalam keadaan stabil. Usaha pertama yang memang saya impikan sebelum ini ialah untuk mewujudkan kawasan ini sebagai satu daerah kecil," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan daerah kecil Bengkoka dijangka memberi manfaat kepada banyak pihak termasuk dari segi pembangunan modal insan dan golongan belia di kawasan tersebut.
Bagi memastikan belia memperoleh kemahiran yang relevan, Harun berkata beliau juga telah memulakan langkah awal dengan memohon penubuhan sebuah institusi Giat MARA di Bengkoka.
"Tetapi semua aktiviti belia-belia kita di kawasan ini bergantung sepenuhnya kepada kewujudan daerah kecil. Kalau kita sudah mewujudkan daerah kecil, banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk belia.
"Memang saya sendiri akui dan perlu diambil perhatian mengenai belia-belia muda, yang langsung tidak ada sumber untuk mereka dapatkan pekerjaan di kawasan ini," tambahnya.
Beliau turut yakin penubuhan daerah kecil dan penyediaan pusat latihan kemahiran akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta membuka ruang lebih luas kepada penyertaan belia dalam sektor pekerjaan.
Naik taraf jalan
Selain itu, Harun menegaskan bahawa isu jalan raya perlu menjadi keutamaan Kerajaan Negeri yang bakal dibentuk kelak, demi memastikan pembangunan ekonomi rakyat dapat digerakkan dengan lebih berkesan.
Harun berkata beliau telah mengenal pasti lima jalan utama yang memerlukan perhatian segera dan perlu diutamakan dalam perancangan pembangunan kawasan itu.
Antara jalan tersebut ialah Mapan-Mapan dengan jarak sekitar 35 kilometer (km); Jalan Pantai; Jalan Maliau; Jalan Mangkapon; serta Jalan Pinapak-Dandun.
Selain jalan utama, beliau turut memberi tumpuan kepada jalan-jalan pertanian, yang merupakan nadi penting kepada pendapatan penduduk tempatan.
"Rakyat di kawasan Bengkoka rata-ratanya memiliki tanah persendirian. Tetapi oleh kerana keadaan jalan yang tidak mengizinkan, maka tanah-tanah tersebut terbiar.
"Contohnya, ada yang mengusahakan kelapa sawit. Bila musim hujan, mereka tak boleh bawa keluar hasil pertanian," jelasnya lagi.
Pada PRN Sabah ke-16, Harun menang di kerusi DUN Bengkoka dengan majoriti 1,337 undi, menewaskan 10 lagi pencabarnya.
Dalam pilihan raya kali ini, Harun berdepan saingan 11 penjuru.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

