Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[TERKINI] Kebijaksanaan, keperibadian Tun Dr Siti Hasmah menjadikan beliau insan disayangi - Dr Wan Azizah

Tun Siti Hasmah dan Wan Azizah
Wan Azizah secara peribadi amat menghormati Allahyarham dan menganggap Dr Siti Hasmah sebagai sumber inspirasi yang membentuk keperibadian serta pendekatan kepimpinan beliau.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai satu kehilangan besar buat negara, khususnya dalam bidang kesihatan awam, pembangunan masyarakat dan pemerkasaan wanita.

Menerusi kenyataan takziah yang dikeluarkan pada Isnin, isteri Perdana Menteri itu merakamkan ucapan simpati dan dukacita mendalam kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga atas pemergian Allahyarham.

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara,” katanya.

Menurut Wan Azizah, Allahyarham Dr Siti Hasmah merupakan tokoh yang telah mengabdikan sebahagian besar kehidupannya demi kesejahteraan rakyat melalui sumbangan dalam bidang kesihatan dan kemasyarakatan.

Beliau berkata, Allahyarham juga antara perintis doktor wanita negara yang membuka laluan kepada lebih ramai wanita untuk menceburi bidang profesional serta memegang peranan kepimpinan.

“Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah adalah seorang tokoh negara yang telah berbakti sepanjang hayatnya demi kesejahteraan awam, kesihatan masyarakat serta menjadi ikon pemerkasaan dan kepimpinan wanita,” katanya.

Wan Azizah turut menyifatkan Allahyarham sebagai sumber inspirasi yang banyak mempengaruhi keperibadian dan pendekatan kepimpinannya.

“Beliau mengajar saya bagaimana membawa diri dengan penuh maruah dan profesionalisme yang tinggi.

“Kebijaksanaan Tun, disertai sifatnya yang mesra dan menyenangkan, menjadikan beliau seorang insan yang amat disayangi,” katanya lagi.

Menurut beliau, Allahyarham membuktikan bahawa kekuatan seorang wanita tidak semestinya diterjemahkan melalui ketegasan atau suara yang lantang semata-mata, sebaliknya melalui kebijaksanaan, kesabaran, kelembutan dan ketabahan dalam mengharungi cabaran kehidupan.

“Tun membuktikan bahawa kekuatan seorang wanita tidak semestinya hadir melalui suara yang lantang.

“Kekuatan itu terpancar melalui kesabaran, kebijaksanaan, kelembutan dan keteguhan dalam membawa diri,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Beliau turut mendoakan agar Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita itu.

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement