Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Keputusan kes Syed Saddiq ditangguh ke 13 Julai

FOTO SHAHIR
Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding kes melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas salah seorang anggota panel tidak dapat hadir susulan masalah kesihatan. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir pedakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta kepada 13 Julai ini.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan, prosiding pada Selasa tidak dapat diteruskan selepas salah seorang anggota panel iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari, iaitu hari ini dan Rabu.

Beliau berkata, panel hakim sebenarnya sudah bersedia untuk menyampaikan keputusan rayuan berkenaan, namun keadaan yang tidak dijangka itu menyebabkan keputusan tidak dapat diumumkan seperti dijadualkan hari ini.

"Kami sudah bersedia dengan keputusan, namun malang sekali perkara ini berlaku hari ini. Kami menjangkakan keputusan itu boleh disampaikan pada 13 Julai.

"Tiada pilihan lain. Bukan soal sama ada pihak-pihak bersetuju atau tidak dengan tarikh itu, tetapi kami berpandangan keputusan perlu disampaikan pada 13 Julai.

"Kami tidak dapat menyampaikannya hari ini. Kami juga boleh sahaja mengarahkan pihak pendaftar memaklumkan kepada semua pihak... keputusan tidak dapat disampaikan hari ini, namun perkara itu dimaklumkan agak lewat (petang Isnin).

"(Jadi) saya fikir adalah lebih wajar saya sendiri hadir di mahkamah hari ini untuk memaklumkan perkara itu kepada semua pihak.

"Jadi keputusan diatangguh kepada 13 Julai ini," katanya ketika prosiding di Mahkamah Persekutuan, di sini pada Selasa.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu dipengerusikan Abu Bakar bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Che Mohd Ruzima dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Selain itu, Abu Bakar turut memaklumkan Colin Lawrence hadir di mahkamah pada Selasa.

Namun Abu Bakar membacakan keputusan penangguhan tanpa kehadiran Colin Lawrence pada prosiding pada Selasa.

Pada 25 Jun tahun lalu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, berkait kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada atau Angkatan Bersatu Anak Muda Bersatu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Pada 22 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan 28 alasan rayuan bagi menyokong permohonan supaya Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Jun dan mengembalikan semula sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa 15 alasan berkaitan pertuduhan subahat pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan berkaitan salah guna harta di bawah Seksyen 403, dan empat lagi berhubung dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Menerusi petisyen rayuan, pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila menyatakan bahawa saksi utama pendakwaan, Rafiq Hakim Razali memberi keterangan kerana tertekan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tanpa sebarang bukti yang menyokong dakwaan itu.

Prosiding diteruskan dengan hujahan pihak pembelaan diketuai oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang memohon agar keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan, sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid mensabitkan Syed Saddiq atas keempat-empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.

Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim mendapati pertuduhan terhadapnya tidak berasas.

Mahkamah turut menyatakan bahawa tindakan memberi arahan untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan dana.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua membabitkan kesalahan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, antara 8 hingga 21 April 2018, yang dilakukan di Maybank Taman Pandan Jaya, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Dua lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan RM50,000 setiap satu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik tertuduh, dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018 di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru. Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLA 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Must Watch Video

Advertisement