Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Nahas helikopter Ulu Baram: Tiga pegawai Biro Siasatan Kemalangan Udara tiba di Miri petang ini

KUCHING, 8 Sept - Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching hari ini. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang. Helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi penerbangan Flying Doctor Service ketika kejadian. - fotoBERNAMA (2026) HA
Helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, semalam. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUCHING: Pasukan penyiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang terdiri daripada tiga pegawai dijangka tiba di Miri sekitar 5 petang ini bagi memulakan siasatan berhubung insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, semalam.

AAIB dalam kenyataan kepada Bernama hari ini memaklumkan kawasan kejadian kini dikawal ketat dan bangkai helikopter tidak boleh diganggu atau dialihkan tanpa penyelarasan agensi tersebut. 

“Pergerakan pasukan berkenaan dari Miri ke lokasi kejadian di Long Lellang akan diselaraskan mengikut keadaan semasa serta ketersediaan pengangkutan.

“Bagaimanapun, akses (ke lokasi kejadian) tidak terhad kepada AAIB sahaja kerana agensi penyelamat berkaitan masih perlu menjalankan tugas masing-masing di lokasi,” menurut kenyataan itu hari ini. 

AAIB memaklumkan keutamaan ketika ini adalah operasi menyelamat dan pemulihan oleh agensi-agensi berkaitan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa lain. 

Difahamkan pasukan SAR telah bergerak ke lokasi kejadian pada 11 pagi tadi.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Menurut CAAM, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang dan helikopter tersebut sedang menjalankan operasi penerbangan FDS.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement