KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga Jumaat masih belum menerima surat rasmi berkaitan keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Menurut beliau, surat berkenaan juga masih belum diterima Jabatan Penjara walaupun keputusan pengampunan sudah dibuat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
“Setakat hari ini, saya belum terima surat rasmi pengampunan Agong. Ini hari kelapan. Pelik kan?
“Bila Agong sudah buat keputusan secara prerogatif, orang yang paling mustahak ialah Datuk Seri Najib sebab dia adalah orang yang dikenakan penjara dan dikenakan tahanan rumah, tetapi sehingga hari ini (Jumaat) beliau belum mendapat surat tersebut,” katanya pada sidang media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Muhammad Shafee berkata, pihaknya juga tidak mengetahui mengapa surat berkenaan mengambil masa yang begitu lama untuk diterima.
Beliau berkata, keadaan itu menyukarkan semua pihak untuk mengambil langkah seterusnya kerana mereka tidak mengetahui secara rasmi syarat yang ditetapkan dalam keputusan pengampunan berkenaan.
“Selagi kita tidak dapat, ia akan memudaratkan segala langkah-langkah yang kita perlu ambil sebab kita tidak tahu sama ada apa syarat-syarat yang telah mungkin diturunkan ataupun tidak,” katanya.
Menurut Muhammad Shafee, beliau sudah menghantar surat kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu kepada pihak berkaitan, namun setakat ini belum menerima maklum balas.
Ditanya sama ada Istana Negara adalah pihak yang sepatutnya mengeluarkan surat berkenaan, beliau menjelaskan, urusan dokumentasi susulan keputusan pengampunan itu adalah di bawah BHEUU, Jabatan Perdana Menteri.
Beliau berkata, Jabatan Penjara juga tidak boleh dipersalahkan kerana agensi berkenaan hanya melaksanakan perintah yang diterima.
“Penjara adalah pihak berkuasa yang melaksanakan perintah. Kalau dia tak dapat perintah, bagaimana hendak melaksanakan?” katanya.
Muhammad Shafee berkata, pihaknya berpandangan kelewatan itu bukan keadaan yang normal, namun, buat masa ini masih mempertimbangkan tempoh yang wajar sebelum mengambil tindakan undang-undang.
Katanya, isu itu akan menjadi lebih serius sekiranya Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman 15 tahun bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi Najib masih tidak dapat dibebaskan kerana perintah berkaitan tahanan rumah belum diterima pihak berkuasa.