[TERKINI] Pelajar tingkatan tiga maut ditikam: Jawatankuasa khas ditubuh, pentadbir sekolah dipindah ke PPD
![[TERKINI] Pelajar tingkatan tiga maut ditikam: Jawatankuasa khas ditubuh, pentadbir sekolah dipindah ke PPD [TERKINI] Pelajar tingkatan tiga maut ditikam: Jawatankuasa khas ditubuh, pentadbir sekolah dipindah ke PPD](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/41760440698_TBAZAMAHMAD.jpg)
Mohd Azam berkata, KPM berikrar menggandakan usaha dalam memperbaiki kelemahan sedia ada bagi memastikan kawasan sekolah adalah kawasan selamat untuk anak-anak. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Sebuah Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk menyiasat semua aspek secara tuntas, telus dan adil dalam kes pelajar perempuan tingkatan tiga yang maut ditikam di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada Selasa.
Ringkasan AI
- KPM menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menyiasat kes pelajar tingkatan tiga maut ditikam di Bandar Utama secara telus dan adil, serta memindahkan pentadbir sekolah ke PPD sehingga siasatan selesai.
- Pasukan kaunselor digerakkan untuk melaksanakan program sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah, sementara KPM berikrar memperkukuh keselamatan sekolah dan kesejahteraan mental pelajar.
- KPM memandang serius insiden jenayah di sekolah dan menggesa kerjasama ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa, sambil merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Kita akan lihat bagaimana untuk kita buat pergerakan itu supaya ia berlaku dalam keadaan lancar. Mengenai pentadbir itu, kita akan nilaikan siapa, mana-mana yang terlibat supaya kita dapat pastikan siasatan itu dapat berjalan dengan lancar.
“Selain itu, pasukan kaunselor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan bagi melaksanakan program intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan,” katanya dalam sidang media khas mengenai kes berkenaan di Kementerian Pendidikan di sini pada Selasa.
Tegas beliau, KPM berikrar untuk menggandakan usaha dalam memperbaiki kelemahan sedia ada bagi memastikan kawasan sekolah adalah kawasan selamat untuk anak-anak.
“KPM memandang serius insiden jenayah yang berlaku antara pelajar di dalam kawasan sekolah, termasuk kes yang melibatkan kematian dan rogol baru-baru ini. Kami tidak menganggap kes-kes ini sebagai kes terpencil.
"Kementerian melihat insiden-insiden ini sebagai satu tamparan tegas kepada kami untuk melakukan lebih banyak usaha bagi memperkukuh keselamatan pelajar dan kesejahteraan mental mereka,” ujarnya.
Beliau turut memohon semua pihak termasuk pihak, sekolah, ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memperkukuh kawalan keselamatan.
“KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia kerana ditikam di sebuah sekolah di Selangor pada hari ini. KPM akan bersama dengan ahli keluarga untuk memberi sokongan dan apa juga bantuan yang diperlukan dalam menempuh saat getir ini,” katanya.
Kejadian kira-kira jam 9.10 pagi tadi itu berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan sebelum disedari guru yang mendengar bunyi jeritan dari lokasi insiden.
Polis yang dikejarkan ke lokasi telah menahan suspek iaitu seorang pelajar berusia 14 tahun.
Suspek telah ditahan dan akan direman esok (Rabu) di Mahkamah Petaling Jaya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami