Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[TERKINI] Pemergian Tun Dr Siti Hasmah kehilangan besar buat negara, keluarga - Ahmad Zahid

‎إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ  Pagi ini, negara berduka atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, seorang tokoh wanita yang begitu dihormati dan dekat di hati rakyat Malaysia. kredit: FB Zahid Hamidi
Ahmad Zahid berkata Dr Siti Hasmah juga dikenang atas khidmatnya sebagai seorang doktor serta keprihatinannya terhadap kesejahteraan masyarakat, malah keperibadian, kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan Allahyarham sepanjang hayat menjadikan beliau insan yang disayangi serta contoh teladan kepada rakyat Malaysia. -Gambar Facebook
Advertisement

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai kehilangan besar buat negara dan keluarga khususnya.

Beliau berkata sepanjang puluhan tahun, rakyat menjadi saksi kepada Allahyarham sebagai teman hidup Tun Dr Mahathir Mohamad, berkongsi kehidupan, membesarkan keluarga serta mendampingi bekas Perdana Menteri itu ketika memikul amanah negara.

Ahmad Zahid berkata Dr Siti Hasmah juga dikenang atas khidmatnya sebagai seorang doktor serta keprihatinannya terhadap kesejahteraan masyarakat, malah keperibadian, kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan Allahyarham sepanjang hayat menjadikan beliau insan yang disayangi serta contoh teladan kepada rakyat Malaysia.

“Pagi ini, negara berduka atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah seorang tokoh wanita yang begitu dihormati dan dekat di hati rakyat Malaysia.

“Sukar untuk membayangkan betapa sunyinya kehilangan insan yang begitu lama berada di sisi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid dan keluarga turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir serta seluruh keluarga dan mendoakan mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan itu.

Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mengampuni Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement