SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan bahawa proklamasi berkenaan penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menurut Ismail, keputusan itu dicapai hasil perbincangan mendalam serta persetujuan penuh dalam Mesyuarat Exco yang berlangsung sebelum ini.
Ismail berkata, proses pewartaan berhubung perkara tersebut kini telah diserahkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk tindakan susulan mengikut saluran serta peraturan sedia ada.
"Hari ini, saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri secara sebulat suara pada mesyuarat Exco 15 haribulan yang lalu.
"Proses pewartaan sudah pun Exco minta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meneruskan dengan pewartaan ini. Pewartaan diteruskan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di sebuah hotel di Seremban pada Khamis.
Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menegaskan tiada sebarang ruang soalan dibuka kepada pihak media.
Semalam, Exco Negeri Sembilan dalam satu kenyataan dilapor membuat keputusan bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Kenyataan yang dilapor media mendakwa perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Besar dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun Setiausaha Dewan Keadilan Dan Undang Negeri Sembilan (DKU), Raja Norazli Raja Nordin dalam kenyataan terbarunya memaklumkan kedudukan Tuanku Muhriz kekal sah, sekali gus menolak keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang didakwa mengiktiraf pemerintah baharu.
Katanya, perkara itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Pada 9 September lalu, Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikatakan telah ditandatangani oleh Menteri Besar.
Ia susulan kenyataan media Ismail pada 6 September lalu yang menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Katanya, fokus kini adalah untuk menjalankan amanah sebagai Mennteri Besar demi kepentingan rakyat dan negeri.
Namun, Ismail mendakwa telah dipaksa menandatangani dokumen proklamasi terbabit, tanpa menyatakan pihak atau individu yang memaksanya.