SUNGAI PETANI: Polis percaya berjaya menumpaskan “Geng Mat Tok” yang aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar daerah ini sejak April lepas, dengan penahanan empat lelaki awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kesemua suspek berusia 28 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi Ops Pintu/Ops Lejang pada 9 September di sekitar daerah ini.
"Kumpulan ‘Mat Tok’ diketuai lelaki berusia 31 tahun dan disertai tiga rakan sejenayah itu, selain dua lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Nizam dan Jat Chai.
"Modus operandi mereka ialah menumpukan rumah tidak berpenghuni dan melarikan barang berharga termasuk kenderaan seperti motosikal yang mempunyai nilai tinggi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Beliau berkata susulan penahanan mereka, polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes pecah rumah di sekitar kawasan Taman Delima dan Taman Arked di sini.
"Dalam serbuan itu, polis merampas satu set dron, masing-masing sebuah motosikal, kamera dan mesin basuh, tiga jam tangan serta sejumlah barangan lain keseluruhannya dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.
Hanyan berkata kesemua suspek yang memiliki rekod berkaitan dadah dan jenayah serta positif terhadap dadah kini direman hingga Ahad untuk siasatan mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA