Skip to main content

Sukan

Jangan ulang kesilapan terdahulu FAM, tangani krisis keyakinan - Ab Ghani

KUALA LUMPUR, 17 Sept - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu Datuk Ab Ghani Hassan bercakap kepada media pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 di PJ Hilton, Petaling Jaya hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tegas Ab Ghani, FAM perlu mempunyai sistem tadbir urus yang bersesuaian dengan keperluan semasa bagi memastikan keyakinan terhadap badan induk itu dapat dipulihkan. - Foto Bernama
Advertisement

PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mahu segera menangani krisis keyakinan terhadap badan induk bola sepak negara susulan pelbagai isu yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, usaha memulihkan semula kepercayaan perlu melibatkan semua pemegang taruh, penyokong serta rakyat Malaysia, selain memastikan perkara yang menjejaskan imej FAM tidak berulang.

“Jangan buatlah (kesilapan terdahulu FAM). Dan pertamanya apabila berlaku krisis keyakinan ini, kita kena atasi untuk meyakinkan kembali semua pemegang taruh dan penyokong bola sepak serta rakyat Malaysia khususnya, insya-Allah,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Khamis.

Ab Ghani berkata, beliau bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu akan meneliti keadaan sebenar pentadbiran FAM terlebih dahulu sebelum menentukan sebarang perubahan.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung FAM dan ketua-ketua unit dalam sekretariat bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pentadbiran serta perkara perlu diperbaiki.

“Bagi saya masuk pejabat dulu, sebab saya pun nak tahu apa yang ada dalam FAM itu.

"Selepas mesyuarat Exco pertama dalam masa terdekat baru saya buat penilaian, kemudian saya akan bentangkan dan maklumkan apa tindakan ataupun langkah yang boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata, FAM perlu mempunyai sistem tadbir urus yang bersesuaian dengan keperluan semasa bagi memastikan keyakinan terhadap badan induk itu dapat dipulihkan.

Dalam pada itu, Ab Ghani mengakui kepimpinan baharu berdepan cabaran besar termasuk keperluan menyelesaikan perkara yang dibangkitkan melalui audit FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini.

Ab Ghani dipilih sebagai Presiden FAM selepas memperoleh 20 daripada 25 undi dalam Kongres Luar Biasa Kedua FAM di sini, pada Khamis.

Beliau menewaskan pencabar tunggal, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang memperoleh lima undi.

Ab Ghani sebelum ini menjawat Presiden Malaysian Football League (MFL) sejak Ogos 2021 dan berkata beliau akan melepaskan jawatan itu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebagai Presiden FAM.

Must Watch Video

Advertisement