[TERKINI] Rombakan Kabinet: 'Menteri baharu sesuai dengan portfolio masing-masing' - Fahmi
![[TERKINI] Rombakan Kabinet: 'Menteri baharu sesuai dengan portfolio masing-masing' - Fahmi [TERKINI] Rombakan Kabinet: 'Menteri baharu sesuai dengan portfolio masing-masing' - Fahmi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/81764934422_FahmiFadzil.jpg)
Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada menteri dan timbalan menteri yang tamat perkhidmatan atau dipindahkan ke portfolio lain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pelantikan menteri-menteri yang disifatkan sepadan dengan portfolio masing-masing.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) antara contoh padanan yang tepat.
Menurut Fahmi, pelantikan Hannah untuk menerajui hal ehwal Wilayah Persekutuan juga sesuai memandangkan penglibatan lama beliau dalam isu-isu melibatkan penduduk di Kuala Lumpur.
Katanya, pembangunan mampan diyakini akan menjadi antara keutamaan Hannah sepanjang memegang jawatan berkenaan.
“Saya masih ingat kami pernah bersama-sama membuat laporan polis membantah penjualan kolam takungan. Saya yakin pembangunan mampan termasuk pemeliharaan kolam-kolam ini akan menjadi antara perkara yang diberi perhatian olehnya.
“Saya tidak mengarahkannya, namun saya percaya isu ini sangat dekat di hatinya. Pada pandangan saya, pelantikan ini adalah satu pilihan yang baik,” ujarnya.
Fahmi juga berkata pelantikan Dr Mohammed Taufiq juga wajar, memandangkan penglibatan aktif dan idea beliau dalam hal ehwal belia dan pembangunan sukan.
“Daripada pemerhatian saya, Dr Taufiq seorang yang sangat aktif dan sarat dengan idea yang boleh diterjemahkan bagi memastikan sektor belia dan sukan negara terus cemerlang,” katanya.
Sehubungan itu, Fahmi memaklumkan istiadat mengangkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri baharu dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada esok (Rabu) jam 10 pagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada menteri dan timbalan menteri yang tamat perkhidmatan atau dipindahkan ke portfolio lain.
“Bagi pihak Jemaah Menteri, saya mengucapkan terima kasih atas khidmat yang telah diberikan dan mendoakan mereka terus berbakti dalam apa jua kapasiti.
“Perdana Menteri pastinya akan mempertimbangkan kaedah terbaik agar mereka terus menyumbang kepada negara,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan barisan Kabinet yang menampilkan beberapa wajah baharu selain penstrukturan semula portfolio sedia ada.
Rombakan tersebut menyaksikan dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan, iaitu Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang sebelum ini mengendalikan portfolio yang kini diterajui Hannah, selain Datuk Mohd Na’im Mokhtar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta Saraswathy Kandasamy yang merupakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


