PUTRAJAYA: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2026 akan bermula pada 23 November hingga 17 Disember 2026, menurut pengumuman rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Selasa.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, siri peperiksaan itu akan dibuka terlebih dahulu dengan pelaksanaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 26 hingga 29 Oktober 2026, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris dari 2 hingga 5 November 2026.
Seterusnya, Ujian Amali Sains dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 18 November 2026.
Bagi komponen mendengar pula, Ujian Mendengar Bahasa Melayu akan diadakan pada 30 November 2026, manakala Ujian Mendengar Bahasa Inggeris menyusul keesokan harinya pada 1 Disember 2026.
"Secara keseluruhan, seramai 420,879 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2026 di 3,334 buah pusat peperiksaan seluruh negara.
"Lembaga Peperiksaan akan mengumumkan jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2026 yang lengkap dalam waktu terdekat," jelas KPM dalam kenyataan berkenaan pada Selasa.
KPM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam itu berjalan lancar dan teratur di semua peringkat.
Ambil Kira Faktor Monsun & Rungutan Calon
Pengumuman tarikh rasmi ini sekali gus menjawab kebimbangan ibu bapa, guru, dan calon yang sebelum ini menanti kejelasan takwim SPM 2026 di platform media sosial.
Terdahulu, memetik laporan Astro AWANI, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad menjelaskan bahawa penyelarasan jadual SPM 2026 mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan faktor persekitaran yang kritikal.
Antara pertimbangan utama termasuk unjuran cuaca Monsun Timur Laut (musim banjir), potensi fenomena jerebu hujung tahun, serta penyelarasan bersama cuti persekolahan.
Selain itu, KPM turut mengambil kira rungutan terdahulu berkaitan penempatan beberapa kertas peperiksaan penting yang sering dijadualkan pada saat akhir tempoh peperiksaan bagi memastikan kebajikan calon terpelihara.