KUALA LUMPUR: “Pertuduhan ini tidak benar sama sekali. Saya mohon dibicarakan.”
Demikian kata bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Abdul Azeez, 60, yang memakai baju lokap berwarna unggu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun.
Jawatan itu turut didakwa menawarkan kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.
Bagi tujuan tersebut, Abdul Azeez didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail untuk mencadangkan namanya sebagai wakil TH dalam syarikat berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Baling itu juga didakwa meyakinkan Ahli Lembaga TH supaya bersetuju meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Pelaburan itu merangkumi sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada syarikat berkenaan, yang didakwa mempunyai kepentingan dengan Abdul Azeez.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib sebelum itu memohon jaminan RM1 juta berserta dua penjamin warga tempatan dan beberapa syarat tambahan.
Bagaimanapun, Hakim Azura membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM450,000 dengan dua penjamin yang merupakan warganegara Malaysia.
Mahkamah turut memerintahkan beliau melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga bulan sekali sehingga kes berkenaan selesai.
BERITA LANJUT MENYUSUL