Ringkasan AI
- Datuk Seri Najib Razak telah dibawa keluar dari Penjara Kajang dan dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur.
- Kawalan keselamatan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta dipertingkatkan dengan kehadiran polis dan petugas keselamatan.
- Najib menerima pengampunan bersyarat dengan baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
KUALA LUMPUR: Pengamal media tempatan dan antarabangsa berkampung di laluan masuk kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, di ibu negara, pada petang Jumaat.
Bekas Perdana Menteri itu sudah bergerak keluar dari Penjara Kajang sekitar jam 2.37 petang untuk menuju ke kediaman beliau.
Beliau difahamkan akan terlebih dahulu menjalani proses pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dalam pada itu, kawalan keselamatan di kawasan sekitar kediaman Najib dipertingkatkan dengan kehadiran anggota polis dan petugas keselamatan bagi mengawal pergerakan.
Selain itu, hujan lebat dan dentuman guruh di langit tidak mematahkan semangat petugas media untuk terus membuat liputan, masing-masing sudah bersiap-siaga dengan kelengkapan seperti payung untuk berteduh.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak berjumlah RM50 juta sudah mencapai sasaran.
Sebagai rekod, Najib menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Namun pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.