KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan empat petugas kesihatan di bawah kementerian itu terlibat dalam insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, petugas itu merupakan seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat yang sedang dalam tugas rasmi.
Jelasnya, ia berdasarkan maklumat awal diterima berhubung penerbangan itu yang berlepas dari Miri.
“Setakat ini, status kesemua krew dan penumpang serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tegas beliau, KKM memantau rapi situasi ini dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan bagi mendapatkan maklumat terkini dari lokasi kejadian.
"KKM juga dalam proses menghubungi waris serta ahli keluarga mangsa yang terlibat bagi memberikan sokongan sewajarnya.
“Memandangkan operasi SAR masih berjalan, saya memohon kerjasama pihak media dan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih demi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa. Sama-sama kita doakan agar segala urusan pencarian dan menyelamat dipermudahkan,” jelasnya.