Terminal Larkin Sentral jalani penambahbaikan, bakal lebih moden dan selesa - Onn Hafiz

Langkah penambahbaikan akan menjadikan Terminal Larkin Sentral
bukan sekadar tempat persinggahan, malah pusat pertumbuhan ekonomi rakyat yang lebih inklusif, moden dan mampan. - Foto FB Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Terminal Larkin Sentral, hab pengangkutan utama di Johor Bahru kini melalui proses penambahbaikan menyeluruh bagi menyediakan kemudahan lebih moden, efisien dan selesa kepada ribuan pengguna harian.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, fasa pertama projek menaik taraf bernilai RM2.5 juta yang telah disiapkan sepenuhnya itu, merangkumi beberapa aspek penting infrastruktur terminal.
"Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan melawat projek naik taraf Terminal Larkin Sentral, hab pengangkutan utama Johor Bahru yang sedang melalui proses penambahbaikan bagi mempertingkat kemudahan untuk ribuan pengguna harian.
"Kini, fasa kedua sedang giat dilaksanakan, merangkumi naik taraf tandas perempuan, pembinaan Bas Lounge berhawa dingin yang lebih selesa, serta penaiktarafan Balai Berlepas Singapura dengan sistem paparan digital perjalanan bas."Apabila siap sepenuhnya hujung tahun ini, projek ini diharap akan menjadikan Terminal Larkin Sentral lebih teratur, bersih dan selesa untuk pengguna," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook pada Sabtu.
Jelas Onn Hafiz lagi, kerja-kerja tersebut termasuk menaik taraf kawasan menurunkan penumpang berbumbung, pembinaan laluan pejalan kaki yang lebih selamat, pemasangan pagar keselamatan baharu, penambahbaikan laluan bas serta pembinaan semula tandas lelaki yang kini lebih mesra pengguna.
Bagi memudahkan urusan perjalanan, kiosk digital turut disediakan di terminal tersebut untuk urusan pembelian tiket dan penukaran pas masuk, sekali gus mempercepatkan proses dan mengurangkan kesesakan di kaunter.
"Apabila siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, projek ini dijangka dapat menambah baik tahap keselesaan dan keteraturan di Terminal Larkin Sentral, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna.
"Selain fungsi utamanya sebagai pusat transit, Larkin Sentral turut dirancang untuk dijadikan medan selera rintis sebagai sebahagian inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani kos sara hidup dan memperkasa peniaga tempatan," katanya.
Langkah itu katanya akan menjadikan kawasan tersebut bukan sekadar tempat persinggahan, malah pusat pertumbuhan ekonomi rakyat yang lebih inklusif, moden dan mampan.
Kerajaan Negeri Johor katanya komited dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negeri secara holistik – bukan hanya dari segi fizikal dan kemudahan, tetapi juga untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami