Tan Sri Dr Rais Yatim berhasrat menerokai beberapa bidang untuk menjadikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lebih tersohor sebagai universiti ulung di negara ini.

Beliau yang memulakan tugas rasminya sebagai Presiden UIAM hari ini berkata antara bidang yang ingin diberi tumpuan ialah Tamadun Islam selain mempelopori langkah membina kecemerlangan dalam bidang perdagangan dan perbankan Islam.

"Tentunya sebagai seorang presiden yang secara amanah memegang tanggungjawab bukan sahaja terhadap kerajaan tetapi kepada ummah dan negara, adalah untuk memastikan UIAM menjadi juara dan mencapai kehebatan dalam bidang tertentu.

"Sebagai universiti ulung di tanah air, kita perlu lihat itu sebagai satu survival dan kami akan cuba sedaya upaya muliakan hubungan syariah dan 'civil law', di samping menentukan beberapa konflik dan idea yang boleh dicernakan sebagai pelaksana utama dalam perjuangan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin.

Rais dilantik sebagai presiden keenam universiti itu bermula 2 Jun lepas bagi tempoh lima tahun menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak pada 1 Jun.

Pelantikan Rais dibuat oleh Ketua Perlembagaan (Institutional Head) UIAM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Sambil mengucapkan terima kasih dan syukur atas pelantikan itu, beliau berkata antara bidang lain yang ingin diterokai adalah hal ehwal sosial dan kebudayaan.

"Kita akan cuba dengan penuh kerjasama daripada kakitangan, cerdik pandai serta majlis dan senat universiti ini untuk dicernakan sebagai sebuah universiti yang mempunyai tauliah ummah dan kenegaraan di samping tauliah antarabangsa.

"Kita lihat UIAM disaingi beberapa universiti. Saingan ini tentunya sihat tetapi dalam pada itu tenaga sekutu kita yang penting dan pensyarah atau pentadbiran perlu kita cantumkan kekitaan yang kuat," katanya.

Dalam pada itu, Zaleha berkata warga UIAM menerima kehadiran Rais dengan hati terbuka dan harapan semoga beliau mampu memberi sumbangan besar kepada universiti itu dan negara-negara Islam amnya.

"Pengalaman beliau sebagai mantan Menteri Luar sesuai dengan kedudukan UIAM sebagai universiti bertaraf antarabangsa," katanya.

Pada hari ini, satu taklimat oleh Jawatankuasa Tertinggi Eksekutif UIAM turut diadakan bagi memperkenalkan Rais kepada para dekan dan pengarah universiti.

"Dalam pada itu kita juga adakan perbincangan tertutup untuk melihat bagaimana universiti boleh memanfaatkan pengalaman-pengalaman beliau," kata Zaleha.