KUANTAN: Hasrat seorang wanita untuk mencari kerja sambilan bukan sahaja tidak kesampaian, bahkan berdepan kerugian RM8,680.83 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pada Selasa.

Mangsa berusia 31 tahun dikatakan terjerat dalam penipuan itu selepas menerima pesanan menerima aplikasi WhatsApp yang menawarkan pekerjaan sambilan sebagai ejen Shopee.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian berhubung dan bersetuju untuk menjadi ejen dengan menjalankan tugas yang diberikan oleh suspek serta dijanjikan akan menerima komisyen sebanyak lapan peratus.

Menurutnya, bagaimanapun mangsa perlu membuat pembayaran sebelum kerja-kerja itu dilakukan olehnya.

"Mangsa kemudian membuat empat transaksi dalam talian ke dua akaun berbeza sebelum menceritakan perkara terbabit kepada rakannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Daerah Bentong selepas merasakan dirinya ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Modus operandi yang dilakukan suspek dengan menawarkan pekerjaan yang tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp," katanya.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. Terpedaya tawaran sebagai ejen Shopee, wanita rugi lebih RM8,000