MALAYSIA
Terus sokong, perluas Program K2K - Dr Wan Azizah

Wan Azizah beramah mesra dengan pelajar yang menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang pada Majlis Meraikan Kecemerlangan Pelajar SPM di bawah Program Tuisyen Percuma - Geran Komuniti K2K di IYC Jalan Yaacob Latif hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar Program Kita-Untuk-Kita (K2K) terus disokong dan diperluas bagi memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat di kawasan perumahan awam.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata program itu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April 2023, merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara menyeluruh dan inklusif.
Beliau berkata program tersebut merangkumi empat komponen utama iaitu pemerkasaan komuniti, pengurusan bersama perumahan awam, peningkatan ekonomi dan pendapatan serta advokasi dan pembaharuan dasar.
"Melalui pelaksanaan strategi ini, lebih 50,000 penduduk di Lembah Klang kini terlibat dalam gelombang transformasi yang menjadikan komuniti mereka lebih berdaya tahan dan lestari," katanya ketika berucap pada Majlis Meraikan Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) PPR Taman Mulia di bawah program tersebut, di sini hari ini.Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Pengarah Program K2K Dr Shahridan Faiez.
Dr Wan Azizah berkata komuniti PPR Taman Mulia memilih untuk melaksanakan Projek Tuisyen SPM Percuma di bawah Program Geran Komuniti K2K, yang bukan sahaja memberi impak langsung kepada lebih 40 pelajar di situ, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dan kebertanggungjawaban bersama.
Beliau berkata program itu telah menerima dana sebanyak RM17,052 melalui Geran Komuniti K2K yang dikendalikan oleh Think City.
"Dengan dana ini, sebanyak 48 sesi kelas untuk subjek teras telah berjaya dilaksanakan. Selain itu, kelengkapan pembelajaran seperti meja, kerusi, pencetak dan projektor turut disediakan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, walaupun selepas tempoh geran berakhir," katanya.
Dr Wan Azizah berkata Geran Komuniti K2K bukan sahaja menyokong PPR Taman Mulia, malah turut menyasarkan 10 kawasan perumahan awam di Lembah Klang dengan sokongan sebanyak 39 projek komuniti bernilai lebih RM1 juta secara keseluruhan.
Beliau berkata projek berkenaan meliputi pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesihatan keluarga, keselamatan, kebersihan, budaya dan sukan yang menyumbang ke arah peningkatan kualiti hidup masyarakat.
Dr Wan Azizah turut memaklumkan Projek Tuisyen SPM Percuma itu telah berjaya melahirkan lima pelajar dengan pencapaian 8A, manakala tiga pelajar memperoleh keputusan 5A, yang merupakan satu pencapaian luar biasa.
Pada majlis itu, pelajar yang memperoleh 8A dan 5A menerima Anugerah Pelajar Cemerlang, tiga lagi pelajar masing-masing menerima Anugerah Motivasi, Anugerah Komitmen dan Anugerah Setiakawan, manakala empat guru menerima Anugerah Pendidik dan seorang penerima Anugerah Penggerak Komuniti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami