KUALA LUMPUR: Kursus Perdana Haji bagi musim 1445H/2024M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri bermula hari ini hingga 5 Mei nanti.

Antara lain, ia  menjadi kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam kemas kini di platform TikTok menerusi segmen "Countdown Jumaat" berkata, objektif utama penganjuran Kursus Perdana Haji adalah bagi melahirkan jemaah haji berpengetahuan dan berkeyakinan ketika melaksanakan ibadat haji kelak.



”Sepanjang kursus selama satu setengah hari ini, bakal-bakal haji akan melalui praktikal seperti bertawaf, sa'ie, melontar jamrah dan ibadat haji lain secara berkumpulan bagi memberi gambaran sebenar di tanah suci," katanya yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia.

Justeru, beliau menambah, bakal haji  yang terpilih menjadi tetamu Allah atau "duyufurrahman" tahun ini adalah disarankan hadir ke Kursus Perdana Haji yang akan diadakan di negeri masing-masing.



Ini kerana, katanya, ia boleh menjadi peluang untuk mengulang kaji dan platform bertanya sebarang kemusykilan mengenai haji kepada mereka yang lebih berpengetahuan.

"Jika ada keraguan, kemusykilan dan pertanyaan, jemaah boleh kemukakannya kepada pegawai agama yang berpengetahuan semasa menghadiri Kursus Perdana Haji ini.

"Itu sebabnya penting bagi jemaah untuk hadir di kursus selama setengah hari ini," ujar beliau.

Sementara itu, beliau berkata, TH menyediakan 17 lokasi untuk penganjuran Kursus Perdana di mana di Kuala Lumpur misalnya, ia akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 20 dan 21 April.



Kursus Perdana Haji di Masjid Wilayah Kuala Lumpur ini akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar.

Manakala di Selangor pula, lokasi penganjuran Kursus Perdana ialah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan akan diadakan pada 27 dan 28 April nanti.

Kursus Perdana Haji turut diadakan di negeri di utara, timur dan selatan serta Sabah dan Sarawak.

Seramai 31,600 bakal haji Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dengan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadual berlepas ke Arab Saudi pada 9 Mei ini.