KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) memberi jaminan bahawa kepentingan 8.3 juta pendepositnya terpelihara dan akan ditambah baik.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media Bahagian Komunikasi Korporat Tabung Haji pada Ahad.

Jelas kenyataan itu, TH akan mengesyorkan hak mutlak pengurusan dan operasi haji terus kekal bersama agensi itu.

"Jaminan kerajaan ke atas deposit di TH di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji tahun 1995 terus kekal untuk kepentingan para pendeposit.

"Penglibatan TH dalam sektor ekonomi berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, TH akan terus membuat penambahbaikan dari segi tadbir urus, pengurusan, operasi dan pelaburan untuk kepentingan pendeposit.

"TH juga terus kekal relevan melalui usaha-usaha dan inisiatif ini dan akan bekerjasama dan terlibat dalam kajian Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) demi kepentingan pendeposit dan TH sendiri," tambah kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai perlaksanaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ketika ini, TH memberi jaminan ia tidak akan menganggu urusan harian pendeposit mahupun urusan berkenaan operasi TH.

Malah, operasi TH juga akan berjalan seperti biasa.

Sehingga kini, TH telah berkembang dari jumlah deposit kepada hampir RM82 billion sejak penubuhannya 58 tahun lalu.

"Atas keperluan tanggungjawab ini, kerajaan telah mencadangkan untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh dan ini akan melibatkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

"Cadangan model baharu operasi TH tersebut akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, BNM dan TH," jelas kenyataan itu.

BACA: Tabung Haji di bawah kawal selia BNM bagi tambah baik pengurusan dan operasi - Tengku Zafrul

Justeru TH menyarankan agar kajian menyeluruh dibuat oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH bagi menilai model operasi baharu yang dicadangkan.

Ia termasuk mengambil kira kapasiti sedia ada TH seperti aset, liabiliti, kepakaran sumber manusia dan lain-lain.