KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneliti semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam memorandum yang diserahkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu organisasi itu melaksanakan penambahbaikan berterusan untuk kesejahteraan 9.8 juta pendeposit.
Kenyataan TH memaklumkan memorandum daripada Himpunan Aman Solidariti Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH yang diterima hari ini mencerminkan keprihatinan tulus masyarakat dalam mendukung institusi haji negara demi memelihara kemaslahatan ummah.
“TH juga menyokong tindakan tegas kerajaan dalam mengambil tindakan sewajarnya berhubung hasil dapatan RCI.
“TH telah melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor-syor RCI dan terus giat melaksanakan baki syor-syor penambahbaikan secara keseluruhan bagi membolehkan kedudukan TH hari ini jauh lebih kukuh berbanding 2018 atas usaha pemulihan berterusan sejak lapan tahun lalu,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) dan Gabungan NGO Islam mengemukakan 10 tuntutan berkaitan laporan RCI TH antaranya menggesa tindakan undang-undang segera, tegas dan telus selain menuntut pemulangan kerugian, aset dan manfaat yang disalahgunakan, pelaksanaan syor RCI secara terbuka dan berjadual serta meneruskan reformasi tatakelola Kerajaan MADANI.
“Sebarang kelemahan tadbir urus, salah guna kuasa, kecuaian, pelanggaran amanah atau campur tangan berkepentingan yang boleh menjejaskan TH hendaklah ditangani secara tegas, telus dan berlandaskan undang-undang.
“Pada masa sama, isu ini tidak sewajarnya dieksploitasi sebagai modal politik sehingga menimbulkan kekeliruan, perpecahan dan hilangnya keyakinan masyarakat Islam terhadap TH,” menurut kenyataan itu.
HIKAM dianggotai Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Sementara itu, Daie MADANI dalam kenyataan hari ini memaklumkan memorandum yang dikemukakan NGO tersebut merupakan tanda sokongan terhadap segala usaha untuk memperkukuh institusi TH melalui tatakelola yang penuh berintegriti, telus dan bertanggungjawab.
Daie MADANI turut menyatakan pendirian untuk berdiri teguh bersama-sama pihak pentadbiran TH yang diterajui Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain bagi memastikan wang pendeposit diuruskan dengan penuh amanah dan jujur.
Menurut Daie MADANI, usaha itu juga mampu mengembalikan kepercayaan rakyat keseluruhan kepada institusi yang banyak berjasa kepada umat Islam di Malaysia.
“Kami menuntut agar pengurusan TH melaksanakan baki 25 peratus syor pemulihan Tabung Haji hasil daripada laporan RCI serta mendedahkan petualang yang memburukkan imej Islam tanpa rasa takut dan menjamin peristiwa hitam umat Islam ini tidak berulang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA