KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir Disember 2025, meningkat berbanding 3.25 peratus pada tahun kewangan 2024.
Kadar itu merupakan yang terbaik dalam tempoh lapan tahun sejak 2018.
Advertisement
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, keseluruhan agihan keuntungan berkenaan berjumlah RM3.22 bilion, yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.
Beliau berkata, kadar berkenaan dicapai selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus atau RM95.3 juta.
“Dari segi kewangan TH mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada tahun 2025, berbanding RM4.56 bilion pada tahun 2024,” katanya ketika mengumumkan agihan keuntungan TH bagi tahun kewangan 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Zulkifli menambah agihan yang lebih tinggi itu turut disokong oleh tadbir urus yang diperkukuh, pengurusan kos berdisiplin dan strategi pelaburan yang mantap serta berdaya tahan.
Jelas beliau, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 10 pagi, 19 Mac melalui platform THiJARI dan kaunter TH.
Selain itu, semakan boleh dibuat di kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat, serta melalui saluran elektronik rakan strategik perbankan TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata TH menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dari segi aset pelaburan, meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion.
Ujarnya, ia mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset yang seimbang.
Sementara itu, TH dalam kenyataan berasingan berkata Ekuiti Persendirian mencatat pulangan pelaburan (ROI) tertinggi sebanyak 8.29 peratus, mencerminkan aktiviti yang kukuh sepanjang tahun.
Ekuiti Luar Negara pula merekodkan ROl sebanyak 7.03 peratus, manakala Ekuiti Domestik mencatatkan 5.47 peratus.
Hartanah memberikan ROl yang stabil sebanyak 5.03 peratus, manakala Pendapatan Tetap mencatat 4.41 peratus, selaras dengan pulangan bagi kelas aset tersebut.