BANGKOK: Thailand memperuntukkan kira-kira 4 bilion baht untuk membeli ubat antiviral COVID-19 dan kit ujian antigen pantas bagi persediaan menghadapi gelombang baharu COVID-19 yang didorong oleh peningkatan jangkitan dua subvarian Omicron - BA.4 dan BA.5.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Isnin meluluskan cadangan yang dibuat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC).

Ubat antiviral bernilai 3.995 bilion baht merangkumi 165 juta tablet Favipiravir dan Molnupiravir dan 57,000 vial Remdesivir serta 1 juta kit ujian pantas.

"Kami sedang membuat persiapan untuk membendung kemungkinan gelombang baharu jangkitan COVID-19," katanya.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 1,814 kes baharu COVID-19 dan 18 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 4,560,843 dan 31,013 kematian sejak Januari 2020.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan ventilator meningkat daripada 300 pesakit sehari, meningkat kepada 369 pada Ahad.

"Dalam tempoh yang sama, purata kes kematian harian turut meningkat daripada 16 kepada 21.

"Kami sedang memantau rapi keadaan di Bangkok dan wilayah berhampiran selepas cuti panjang minggu lepas ," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Cuti panjang itu disebabkan sambutan keagamaan Asarnha Bucha dan Buddhist Lent pada Rabu dan Khamis serta cuti khas pada Jumaat.

Dr Opas mendedahkan bahawa kira-kira 98 peratus kes kematian akibat COVID-19 adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan dan wanita hamil.

"Terdapat peningkatan kadar kematian dalam kalangan mereka yang menerima dos ketiga vaksin COVID-19, dengan dos terbaru mereka adalah lebih tiga bulan lalu," tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Kiattiphum Wongrajit berkata hospital Bangkok kini menerima lebih 1,000 pesakit COVID-19 setiap hari.

Beliau berkata pesakit COVID-19 telah mendominasi 13 peratus kadar kemasukan ke hospital di seluruh negara.

"Kadar penggunaan katil hospital di Bangkok telah meningkat kepada 42 peratus," katanya.

-- BERNAMA