Thaipusam: Melaka dijangka terima 50,000 penganut Hindu tahun ini

Di Melaka, walaupun Thaipusam diraikan dalam skala lebih kecil, namun, ia tetap mencerminkan semangat keagamaan yang kukuh serta berperanan menyatukan komuniti dan memelihara tradisi budaya masyarakat Hindu di negeri ini. - Gambar fail Bernama
MELAKA: Selain ibu negara, Perak dan Pulau Pinang, Melaka turut menjadi antara tumpuan penganut Hindu pada sambutan Thaipusam dengan hampir 50,000 penganut dijangka hadir tahun ini, meningkat daripada kira-kira 40,000 orang tahun lepas.
Presiden Kuil Sri Subramaniar Batu Berendam, V. Manokaran berkata, sambutan kali ini berlangsung dari 22 Jan hingga 4 Feb dengan kuil itu kekal menjadi tumpuan utama sambutan di Malaka.
Beliau berkata, sambutan bermula 22 Jan dengan upacara ubhayam, iaitu sumbangan atau penajaan sukarela bagi membiayai pelaksanaan ritual keagamaan di kuil termasuk penyediaan bahan upacara dan jamuan sebagai tanda kesyukuran, menunaikan nazar serta memohon keberkatan.
"Sepanjang tempoh sambutan, pelbagai ritual keagamaan dilaksanakan termasuk paal kudam (membawa bekas berisi susu), membawa kavadi dan abhishekam (memandikan arca dewa dengan air suci) yang menjadi antara amalan utama sempena Thaipusam," katanya ketika dihubungi Bernama.
Manokaran berkata, upacara ubhayam berlangsung sehingga 31 Jan manakala sambutan utama pada 1 Feb.
Beliau berkata, penyertaan bagi membawa paal kudam di kuil itu dijangka meningkat kepada 10,000 penganut berbanding kira-kira 7,000 tahun lepas manakala upacara membawa kavadi menunjukkan peningkatan sehingga 1,500 penganut daripada antara 800 hingga 1,000 orang tahun sebelumnya.
Perarakan pedati pula dijadualkan berlangsung pada 2 Feb bermula 4.30 petang dari Kuil Sri Subramaniar Batu Berendam menuju ke Taman Bachang Baru sebelum melalui beberapa laluan utama sekitar bandar Melaka.
"Perarakan akan melalui Jalan Batu Berendam, Balai Polis Batu Berendam, Taman Melaka Baru, Jalan Hospital Besar, Jalan Taming Sari, Jalan Bendahara dan Jalan Temenggong sebelum meneruskan perjalanan melalui Jalan Bukit China, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Hang Tuah, Melaka Sentral serta Jalan Bachang Baru dan kembali ke kuil," katanya.
Manokaran berkata, laluan perarakan pedati tertakluk kepada keadaan trafik semasa serta nasihat polis bagi memastikan kelancaran dan keselamatan semua pihak.
Thaipusam yang disambut pada hari bulan penuh dalam bulan Tamil Thai memperingati peristiwa Dewa Murugan dikurniakan lembing suci, Vel oleh ibunya Dewi Parvati bagi menewaskan Surapadman sekali gus melambangkan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan.
Di Melaka, walaupun sambutan Thaipusam diraikan dalam skala lebih kecil berbanding beberapa negeri lain, ia tetap mencerminkan semangat keagamaan yang kukuh serta berperanan menyatukan komuniti dan memelihara tradisi budaya masyarakat Hindu di negeri ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


