MALAYSIA
TI-M sambut baik pelaksanaan DPA, tekankan aspek ketelusan

Raymon berkata, DPA yang diamalkan di banyak negara telah terbukti sebagai kaedah lebih efisien dari segi kos, masa dan sumber. - Foto Facebook Raymon Ram
KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan Tatacara Perjanjian Penangguhan Pendakwaan atau Deferred Prosecution Agreement (DPA) sebagai mekanisme baharu dalam reformasi perundangan negara, yang diyakini mampu memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Ringkasan AI
- Transparency International Malaysia (TI-M) menyokong langkah kerajaan memperkenalkan Deferred Prosecution Agreement (DPA) sebagai mekanisme baharu reformasi perundangan.
- TI-M menegaskan DPA mesti dilaksanakan telus, bebas campur tangan politik, serta disokong kawalan kehakiman yang kukuh.
- TI-M mahu NGO dan masyarakat sivil terlibat sebagai pemantau bagi elak salah guna, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur.
TI-M percaya pelaksanaan DPA yang berintegriti tanpa campur tangan politik akan membantu Malaysia mencapai sasaran berada dalam kelompok 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Bagaimanapun, TI-M mengingatkan bahawa pengumuman semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah persepsi rakyat. Sebaliknya, mekanisme ini perlu disokong kawalan kehakiman yang kukuh bagi mengelakkan salah guna kuasa atau pelepasan pihak berkepentingan.
“Ini akan meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur. Kita perlu masukkan institusi pemantauan dan penguatkuasaan yang kukuh untuk menunjukkan keseriusan kerajaan. Ia juga selari dengan cadangan reformasi TI-M bagi memperbaiki prestasi Malaysia dalam CPI.
“Pengumuman sahaja tidak mencukupi, cara pelaksanaan perlu dipertimbangkan. Jika mekanisme lemah dan terlalu banyak kuasa di tangan menteri atau eksekutif, ia boleh memberi kesan negatif kepada rakyat. Kunci DPA ialah pembaharuan yang menyeluruh,” tegasnya.
Badan itu juga menegaskan peranan masyarakat sivil amat penting sebagai pemantau pelaksanaan DPA.
“NGO dan CSO seperti kami boleh menjadi ‘mata dan telinga’ rakyat dalam memastikan DPA tidak disalah guna. Kami juga bersedia menawarkan kepakaran teknikal kepada kerajaan,” jelas Raymon sambil menegaskan keperluan penglibatan lebih bermakna dalam proses penggubalan undang-undang.
TI-M berharap pelaksanaan DPA bukan sahaja memperkukuh keberkesanan sistem perundangan negara, tetapi juga membina semula kepercayaan masyarakat terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi tadbir urus dan memerangi rasuah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami