KLIA dinamakan hab paling terhubung di Asia Pasifik, keempat dunia - Megahubs 2025 OAG

Laporan Megahubs 2025 yang dikeluarkan OAG pada Rabu menamakan KLIA sebagai lapangan terbang paling terhubung di Asia Pasifik. - Gambar fail/BERNAMA
SINGAPURA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinamakan sebagai lapangan terbang paling terhubung di Asia Pasifik serta menduduki tempat keempat di peringkat global dalam laporan "Megahubs 2025" yang dikeluarkan pada Rabu.
Ringkasan AI
- KLIA dinamakan lapangan terbang paling terhubung di Asia Pasifik dan keempat terbaik dunia, selain menduduki tempat pertama dalam kategori Hab Mega Kos Rendah.
- Asia Pasifik semakin kukuh sebagai kuasa penerbangan global, dengan tiga lapangan terbangnya tersenarai dalam 10 terbaik dunia.
- Rantau ini turut mendominasi penerbangan kos rendah, dengan 16 daripada 25 hab mega LCC dunia berpangkalan di Asia Pasifik.
Lapangan Terbang Heathrow (LHR), Lapangan Terbang Istanbul (IST) dan Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol (AMS) melengkapkan kedudukan tiga teratas Hab Mega Lapangan Terbang Global.
Memasuki tahun ke-10, laporan "Megahubs" ini menonjolkan kekuatan sektor penerbangan Asia Pasifik yang semakin berkembang, dengan tiga lapangan terbang berada dalam senarai 10 Teratas Dunia.
Selain KLIA, dua lagi lapangan terbang Asia Pasifik yang tersenarai dalam 10 Teratas Dunia ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon (ICN) di tempat keenam dan Lapangan Terbang Haneda (HND) di tempat kesembilan.
Lapangan Terbang Changi Singapura (SIN) berada di tempat ke-11.
"Rantau Asia Pasifik telah mengukuhkan reputasinya sebagai kuasa global dalam bidang penerbangan, dengan mengimbangi antara hab perkhidmatan penuh bertaraf dunia dan sambungan dinamik kos rendah," kata Patel.
OAG turut menyatakan Asia Pasifik mendominasi penerbangan kos rendah, dengan 16 daripada 25 hab mega LCC teratas dunia berpangkalan di rantau ini.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKG) mencatat peningkatan terbesar dalam senarai LCC tahun ini, melonjak 20 anak tangga ke tempat keempat, dipacu oleh HK Express milik Cathay Pacific.
Laporan "Megahubs 2025 OAG" menilai tahap kesalinghubungan lapangan terbang antarabangsa utama dunia -- di peringkat global dan serantau -- serta pintu masuk ke pasaran domestik, selain menyediakan platform perbandingan.
Kedudukan unik ini dihasilkan berdasarkan perbandingan jumlah sambungan berjadual ke dan dari penerbangan antarabangsa dengan jumlah destinasi yang disediakan dari sesuatu lapangan terbang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


