Had umur PM bawah 70 tahun simbol politik tolak Muhyiddin - Muhammad Kamil

Muhammad Kamil berkata kepimpinan generasi muda sudah tentu diperlukan untuk mewarisi tampuk kepimpinan negara akan datang. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cadangan Pas agar Perdana Menteri pada pilihan raya akan datang hendaklah berusia bawah 70 tahun sebagai 'bahasa halus' untuk menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada dicalonkan bagi jawatan itu.
Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata cadangan itu adalah bahasa paling halus Pas untuk menamakan pemimpin bawah 70 tahun dalam kalangan ahli parti berkenaan sebagai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional.
"Ini sekadar cadangan dialah (Pas)...dulu pun waktu ada Perdana Menteri umur 90 tahun lebih, dia tak ada pun cadangan itu, jadi cadangan itu...barangkali bersifat politik.
"Nak jadi pemimpin ini...harus ada pertimbangan dari sudut usia tetapi syarat jadi pemimpin ini kenalah cerdas, sihat tubuh badan, boleh bekerja dengan baik, faham kehendak hati naluri rakyat, itu yang paling pentinglah buat masa sekarang ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) di Dewan NCMS-CARITAS di sini semalam.
Muhammad Kamil berkata kepimpinan generasi muda sudah tentu diperlukan untuk mewarisi tampuk kepimpinan negara akan datang, namun cadangan Pas itu datang di tengah-tengah polemik dalam Perikatan Nasional menentukan siapa calon Perdana Menteri.
Terdahulu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika merasmikan muktamar tahunan parti itu di Kedah menyatakan calon Perdana Menteri ke-11 sewajarnya berumur di bawah 70 tahun dan mesti sihat tubuh badan namun menegaskan beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana faktor usia dan kesihatan.
Abdul Hadi bagaimanapun berkata kenyataan beliau itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


