KUALA LUMPUR: Tiada aliran tunai, perniagaan tidak berdaya maju, serta tahap keberhutangan tinggi, merupakan tiga faktor mengapa permohonan bantuan kewangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) ditolak, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Namun Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata, kerajaan melalui agensinya, telah menyediakan beberapa pilihan bagi PKS berkenaan untuk terus mendapat khidmat bantuan dan nasihat pengurusan kewangan.

Antaranya, jelas Ahli Parlimen Sipitang itu lagi, melalui talian khidmat pelanggan khusus untuk PKS di bawah Bank Negara, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK), serta Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

“Agensi dan institusi ini menyediakan khidmat nasihat, serta bantuan memadankan PKS dengan skim pembiayaan yang sesuai, berdasarkan profil perniagaan, dan skor kredit.

“PKS juga akan mendapat nasihat, macam mana cara nak tingkatkan kelayakan (permohonan pinjaman) dan sumber kewangan alternatif. BNM juga peka dengan masalah ini, dan kemudahan pembiayaan baharu akan dirancang, akan pastikan dana biaya PKS mencukupi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH - Klang) yang mahu mengetahui usaha kerajaan untuk melonggarkan pinjaman sama ada melalui agensi kerajaan atau bank, kepada PKS terjejas.

Selain itu, Charles mahu mengetahui jumlah permohonan pinjaman perniagaan dalam semua pakej rangsangan/pemulihan ekonomi negara sejak pandemik, kadar kelulusan permohonan, alasan pemohonan ditolak, jumlah peruntukan yang disediakan bagi program pinjaman perniagaan, jumlah pinjaman yang telah diluluskan, serta jumlah peruntukan yang belum diluluskan.

Menjawab soalan itu, Yamani Hafez berkata, sehingga 28 Julai 2021, jumlah kemudahan pembiayaan yang diluluskan Bank Negara Malaysia ialah sebanyak RM16 bilion.

Kelulusan itu, jelasnya lagi, melibatkan lebih 37,959 akaun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan kadar kelulusan sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima.