KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penutupan sekolah-sekolah tahfiz atau pusat pengajian agama, tegas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Sebaliknya, kerajaan, kata Ahmad Marzuk, menyalurkan peruntukan RM100 juta bagi membantu meringankan beban pengusaha pusat-pusat pengajian berkenaan yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, jika terdapat institusi berkenaan seperti pusat tahfiz dan sekolah pondok yang terpaksa menutup operasi, hal itu disebabkan pentadbirnya berhadapan masalah kewangan ekoran sudah lama tidak beroperasi akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

Kata Marzuk, selama ini, kos operasi pusat tahfiz, sekolah pondok dan pusat pengajian agama, kebanyakannya dibiayai daripada yuran yang dikenakan ke atas pelajar.

Bagaimanapun, yuran berkenaan tidak dapat dikutip oleh pihak pentadbir berikutan pusat pengajian ditutup sebelum ini akibat pelaksanaan PKP.

Namun begitu, Marzuk menjelaskan, kerajaan telah menyalurkan RM60 juta bagi meringankan beban yang ditanggung pentadbir-pentadbir pusat-pusat pengajian itu.

Dalam masa sama, kerajaan, kata Marzuk, menyedari bahawa bantuan yang disalurkan itu tidak mencukupi kerana kos tinggi yang terpaksa ditanggung pihak pengurusan selepas ketiadaan sumber kewangan akibat penutupan dan pelaksanaan PKP.

Sehubungan itu, Marzuk menegaskan, kerajaan masih lagi meneliti dakwaan berhubung penutupan sekolah agama, pondok dan pusat tahfiz.

“Adapun di peringkat ini, setakat maklumat yang kita ada angka tersebut tidak pasti lagi berapa… tapi tidak ada arahan daripada kerajaan untuk tutup (operasi).

“Mereka (pentadbir pusat pengajian agama) berdepan dengan kesulitan apabila tidak beroperasi di dalam musim PKP menyebabkan terjejasnya kos untuk pengurusan mereka.

“Pun begitu, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM100 juta dan RM60 juta telah pun dibelanjakan untuk sekolah tahfiz dan juga entiti-entiti seperti sekolah pondok dan sekolah agama rakyat yang telah pun kita salurkan peruntukan untuk kos baik pulih dan juga kos yg terbabit,” jelas beliau lagi.

Kerajaan juga, kata beliau, sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian kepada sekolah agama dan sedang mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata al-Quran), Manolito Mohd Dahlan berkata, dalam kajian yang dijalankan pihaknya ke atas 512 Maahad Tahfiz, 11.7 peratus pusat pengajian itu dalam kajian tersebut terpaksa memberhentikan sepenuhnya kakitangan mereka sementara 52 peratus lagi hanya mampu membayar separuh gaji pekerja.

Tidak ketinggalan, sebanyak 34.4 peratus maahad pula hanya mampu bertahan tidak lebih tiga bulan.

Kata Manolito, sebanyak 38.1 peratus lagi maahad tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala 85.4 peratus maahad menerima yuran separuh atau kurang berikutan kemampuan kewangan ibu bapa yang turut sama terjejas akibat pandemik COVID-19.