Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican nafi 'kempen' mengutamakan produk Muslim yang dijayakan sesetengah pihak dirancang UMNO-Pas.

Sebaliknya, jelas beliau, ia dilihat sebagai gerakan dan kesedaran untuk menyokong produk Muslim.

"Yang diperjuangkan mutakhir ini hanya ikhtiar dan kesepakatan pengguna Muslim menggunakan barangan atau produk keluaran Muslim. Tidak ada boikot yang terancang kepada pengusaha lain.

"Kesedaran ekonomi umat Islam ini tidak mengganggu gugat keperkasaan ekonomi pihak mana sekalipun. Ia adalah 'kempen' yang digerakkan sendiri rakyat. Tiada kena mengena UMNO-Pas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Justeru, beliau mengingatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar tidak cepat menggelabah kerana gerakan berkenaan bukan untuk memboikot produk bukan Muslim.

"Guan Eng tidak perlu khuatir berkenaan kempen dan kuasa pengguna. Ekonomi negara keseluruhannya jauh lebih besar dan luas skopnya. Elok Guan Eng tumpukan kepada 'hutang negara' yang kian meningkat atau janji kerajaan yang tidak tertunai.

"Saya cadangkan Guan Eng ambil masa untuk membaca teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) bersempena Sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan berkenaan sikap mereka yang munafik dan mungkir janji. Wajar untuk dihadam sebagai pemegang amanah kantung negara," ujarnya.

Ketika ini, dikatakan wujud beberapa gerakan pihak tertentu yang menggerakkan kempen beli barangan atau produk Muslim bagi menjayakan ekonomi umat Islam.