IPOH: Kerajaan Negeri Perak tidak bercadang untuk memperluaskan atau menambah pembukaan baharu Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH) yang dilaksanakan di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri menetapkan pelaksanaan ZPLH hanya melibatkan kawasan seluas 32,375 hektar bersamaan kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri berkenaan.
Advertisement
“Ingin saya tegaskan bahawa pembukaan kawasan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal adalah tertakluk sepenuhnya kepada had keluasan ZPLH yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Pada masa ini, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membuka atau menambah keluasan baharu bagi Zon Pembangunan Ladang Hutan di Perak,” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) berhubung perancangan kerajaan negeri bagi Projek Ladang Hutan bertujuan mendapatkan hasil hutan setelah harga kayu tidak ada harga di pasaran sekarang.
Sementara itu, Saarani berkata, kawasan ZPLH seluas 100,000 hektar telah diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-68 pada 2012.
Beliau berkata, pelaksanaan pembangunan ladang tersebut dilaksana secara berfasa dan tidak diberikan kelulusan secara serentak bagi memastikan perancangan lebih tersusun serta pemantauan yang berkesan terhadap impak alam sekitar dan pengurusan sumber hutan.
“Sehingga 31 Dis 2025, daripada jumlah keluasan ditetapkan itu, hanya berbaki seluas 809 hektar yang masih belum diberikan kelulusan,” katanya.
Beliau berkata di bawah ZPLH, keluasan ladang hutan diluluskan adalah seluas 31,566 hektar, ladang hutan dibangunkan (8,810 hektar), ladang hutan yang ditanam (8,184 hektar), ladang hutan dalam proses penanaman (626 hektar) dan ladang hutan belum dibangunkan (22,756 hektar).
-- BERNAMA