Persatuan Institusi Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) akan mengecualikan caj RM1 yang dikenakan ke atas pemegang kad bagi kemudahan mesin pengeluaran automatik (ATM) berkuat kuasa 6 April ini sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan, AIBIM berkata, pengecualian itu membabitkan transaksi di rangkaian perkongsian ATM Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) atau SAN serta ATM yang memaparkan label putih MEPS di Malaysia.

"Ini bagi memastikan orang ramai dapat terus melakukan pengeluaran tunai masing-masing menerusi ATM di lokasi berhampiran dengan pergerakan yang minimum," katanya.

Kemudahan ATM itu beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh PKP (tertakluk kepada waktu operasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri).

Menurut AIBIM, walaupun perkhidmatan ATM itu adalah secara harian, namun pelanggan digalakkan memanfaatkan transaksi menerusi platform elektronik disediakan ahlinya sepanjang tempoh PKP bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam. - BERNAMA