ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan bahawa tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keseluruhan 29,936 calon di negeri Kedah didapati positif COVID-19 sepanjang minggu pertama peperiksaan berkenaan berjalan sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun, Pengarahnya, Dr Fikri Ujang menyatakan bahawa JKN Kedah bersama Kementerian Pendidikan sentiasa melakukan pemantauan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti saringan ke atas calon-calon.

Menurutnya, mana-mana calon yang didapati bergejala, akan terlebih dahulu diasingkan bagi proses pemeriksaan sebelum diletakkan di tempat berasingan bagi mengambil peperiksaan.

Manakala, bagi calon yang didapati positif COVID-19 tidak dibenarkan untuk mengambil peperiksaan SPM, dan akan diberikan tarikh baharu untuk berbuat demikian.

"Tak ada lagi laporan bahawa pelajar SPM di Kedah ini yang positif. Walaubagaimanapun kita dimaklumkan Kementerian Pendidikan telah melaksanakan SOP yang ketat di mana pelajar yang datang ke sekolah untuk mengambil peperiksaan akan disaring.

'Sekiranya mereka ini bergejala dia akan diasingkan dan pihak kesihatan akan dimaklumkan dan akan datang memberi pemeriksaan sama ada ini adalah tanda-tanda COVID-19 ataupun tidak," Dr Fikri berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap agar ibu bapa dan tenaga pengajar dapat memainkan peranan penting dalam memastikan keseluruhan pelajar yang akan memulakan sesi persekolah, pada Isnin dapat mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan.

Tambahnya, ianya termasuklah peringatan agar anak masing-masing dapat mengamalkan kelaziman baharu di sekolah seperti amalan penjarakan fizikal selain kerap mencuci tangan.