KUALA LUMPUR : Siasatan awal mendapati tiada tanda-tanda dari faktor semula jadi yang dikenal pasti menyebabkan insiden runtuhan berdekatan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Duta, hari ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Jabatan Kerja Raya (JKR) bagaimanapun akan menjalankan siasatan lanjut dan terperinci mengenai kejadian itu.

"Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, kita dikejutkan dengan insiden tanah runtuh yang berlaku berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin hari ini.

"Saya amat bersimpati dengan mangsa yang terlibat dan berharap usaha mengenal pasti punca sebenar dan langkah mengawal runtuhan dapat disegerakan.

"Saya juga telah mendapatkan maklumat daripada Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya yang telah turun ke lokasi siang tadi. Saya dimaklumkan berdasarkan siasatan awal, kebocoran pair air bawah tanah berkemungkinan menyumbang kepada insiden ini," katanya dalam perkongsian di sosial media hari ini.

Beliau dalam masa sama memohon kerjasama semua pihak semua mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Terdahulu pada jam kira-kira satu petang, kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku berdekatan bangunan MACA yang terletak di Jalan Duta, hari ini.

Kejadian itu turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.

Komander Operasi Kanan Bomba Kuala Lumpur, E. Yogeswaran berkata, pihaknya yang menerima laporan kejadian menggerakkan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi kejadian.