SHAH ALAM: Kerajaan masih tidak menyediakan sebarang garis panduan kepada majikan berhubung isu pemberian elaun kepada pelajar yang mengikuti latihan praktikal di sesebuah syarikat.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ketiadaan garis panduan terbabit menyebabkan segelintir majikan tidak memberikan elaun kepada pelajar yang sedang menjalani praktikal di syarikat masing-masing.

Bagaimanapun, beliau tidak menganggap tindakan majikan itu sebagai bentuk penindasan ataupun merampas hak pelajar, sebaliknya berpendapat keadaan tersebut berlaku kerana tiada satu garis panduan khusus untuk diikuti pihak terlibat.

“Ini kerana pada masa ini sebenarnya tidak ada sebarang garis panduan ataupun tatacara bagaimana kita harus sebenarnya memberikan imbuhan kepada peserta latihan industri.

“Saya lebih gemar kalau pihak kerajaan menetapkan satu garis panduan.

"Contohnya, kalau pelajar diploma, imbuhan yang harus diberikan adalah banyak ini dan kalau tahap ijazah pula jumlahnya banyak ini,” katanya ketika program Pemimpin Baru Nak Up (PBNU) bertajuk Budak praktikal ‘manja'? yang disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Turut sama dalam program dihoskan oleh Fahiz Ariff itu ialah Exco Penerangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Ahmad Hurairah.

Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, meskipun kerajaan ada menyediakan insentif pelepasan cukai kepada majikan yang menawarkan program latihan industri, namun beliau berpendapat bahawa prosedur permohonan insentif perlu diperhalusi supaya ia lebih memudahkan pihak majikan.

Menurutnya, prosedur sedia ada yang dilaksanakan adalah terlalu sukar untuk dipenuhi oleh pihak majikan sekali gus menyebabkan mereka tidak sanggup untuk membuat permohonan bagi mendapatkan insentif tersebut.

“Jadi mereka lebih gemar untuk terus sahaja membayar imbuhan dan tidak mendapat sebarang faedah daripada pelepasan cukai berkenaan.

“Jadi saranan saya kepada pihak kerajaan adalah supaya perkara ini diperhalusi dan semua majikan yang memberikan sebarang insentif kepada peserta latihan industri ini harus diberikan pelepasan cukai tanpa sebarang borang atau kelulusan daripada pihak tertentu," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad berkata, permintaan pelajar agar mereka diberikan elaun ketika melakukan latihan praktikal adalah sesuatu yang wajar kerana mengambil kira keperluan asas perlu dipenuhi oleh kumpulan tersebut untuk ikut serta dalam program wajib tersebut.

Tambah beliau, isu untuk memastikan pemberian elaun kepada pelajar itu juga bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diusahakan oleh pihak kerajaan mahupun majikan.


*Berita asal di Sinar Harian