KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju agar had nilai bagi pertikaian di bawah sektor pembinaan di Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) yang sebelum ini ditetapkan pada kadar tidak melebihi RM500,000.00, dimansuhkan kepada tanpa had nilai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataannya berkata pemansuhan had nilai berkenaan hanya melibatkan kes-kes di bawah kategori pembinaan sahaja.

"Had nilai bagi lain-lain kategori adalah kekal pada RM500,000.00. Inisiatif ini diharap dapat membantu mempercepatkan pemulihan projek-projek bermasalah dan seterusnya merancakkan semula industri pembinaan negara," katanya.

Menurut Wan Junaidi maklum balas yang diterima menerusi sesi libat urus antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan pemain-pemain utama sektor pembinaan mendapati terdapat keperluan untuk had nilai bagi pertikaian di bawah sektor pembinaan di PMC-19 disemak semula.

Langkah itu juga sebagai menyokong pindaan Akta 829 yang telah dikuatkuasakan mulai 14 Januari tahun ini yang membenarkan apa-apa kategori pertikaian kontrak dirujuk ke PMC-19 tanpa tertakluk kepada sembilan kategori yang ditetapkan sebelum ini, katanya.

Beliau berharap warga Keluarga Malaysia yang mempunyai sebarang pertikaian kontrak termasuk kontrak pembinaan akibat pelaksanaan perintah kawalan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sejak 2020 untuk menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan (mediasi) yang ditawarkan oleh PMC-19, Jabatan Perdana Menteri.

Kata Wan Junaidi PMC-19 yang ditubuhkan sejurus wabak COVID-19 melanda negara telah memainkan peranan membantu orang awam dan entiti perniagaan menyelesaikan pertikaian yang berbangkit akibat ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang disebabkan oleh langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya PMC-19 boleh dihubungi menerusi talian 03-8872 7070 atau laman web www.pmc19.gov.my.

-- BERNAMA