KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyokong dan tidak pernah menghalang penganjuran program dakwah di ibu negara, namun semua aktiviti perlu dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, DBKL sentiasa bekerjasama rapat dengan kementerian, jabatan dan agensi lain bagi memastikan setiap penganjuran program berjalan lancar serta mematuhi garis panduan ditetapkan.
Advertisement
Beliau berkata, DBKL mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dari semasa ke semasa bagi tujuan penyelarasan aktiviti dakwah.
“Kami menyokong segala usaha dakwah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, dan kami akan memudahkan proses penganjuran aktiviti dakwah di Kuala Lumpur mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menyentuh tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap tapak Street Dakwah di Bukit Bintang baru-baru ini, Hannah menegaskan, isu tersebut bukanlah isu dakwah, sebaliknya susulan aduan orang awam berhubung pemasangan kanopi di lokasi berkenaan.
"Bahan-bahan (yang dirampas) seperti kerusi, meja lipat, khemah dan troli beroda juga telah diambil balik oleh Multiracial Reverted Muslims (MRM). Tidak ada bahan agama yang dirampas oleh DBKL," jelasnya.
Terdahulu, pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam satu hantaran di laman Facebook memaklumkan beliau berjumpa dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin bagi mengadakan satu pertemuan susulan isu membabitkan reruai Street Dakwah MRM yang dirampas oleh pihak DBKL pada 17 Februari lalu.