Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata tidak pernah pun berlaku seorang pengundi mengundi dua kali dan ianya tidak pernah terbukti. Jika difailkan petisyen di mahkamah pun tidak dapat dibuktikan.

"Ini cuma persepsi yang menjadi kempen parti tertentu bermotif politik sama ada hendak memperlekeh sistem pilihan raya atau hendak mendapat undi simpati," menurut Wan Ahmad dalam satu kenyataan di Berita Harian hari ini.

Wan Ahmad turut memberitahu dakwat kekal akan digunakan dalam PRU-13. Sesiapa yang tidak mahu jarinya dicalit, dia tidak akan dibenarkan mengundi. Itu merupakan kekhuatiran badan yang melaksanakan pilihan raya itu apabila mungkin terdapat bakal pengundi yang enggan jari mereka dicalit.

"Prosedurnya mudah iaitu pengundi yang memasuki pusat mengundi akan diwajibkan mencalit dakwat itu pada jari telunjuk kiri. Jika tiada langsung jari kiri maka jari telunjuk kanan akan dicalit. Dakwat ini akan kekal selama tujuh hari bagi memastikan tiada siapa yang akan mengundi dua kali, jelas Wan Ahmad lagi.

SPR buat pertama kali dalam sejarah PRU akan mengadakan kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras perbuatan rasuah atau mempunyai unsur politik wang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membubarkan parlimen pada minggu lepas selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada pagi hari yang sama.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, SPR diberi masa 60 hari untuk mengadakan PRU iaitu selewat-lewatnya pada 2 Jun ini.