JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan formula baharu pertukaran syif di pintu keluar masuk laluan darat di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi memastikan semua kaunternya dibuka ketika waktu puncak.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata pelaksanaan formula baharu yang akan diumumkan minggu hadapan itu penting bagi memastikan tidak berlaku kesesakan ketika waktu puncak berikutan tiada kakitangan di kaunter, disebabkan pertukaran syif petugas.

"Ini antara isu yang dibangkitkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini di mana waktu puncak pertukaran syif adalah pada pukul 7 pagi yang merupakan waktu kritikal. Kita sedang mengkaji dan Insya-Allah dalam minggu depan kita akan ada satu formula lain kerana kita tidak mahu walaupun hanya dua hingga tiga minit (pertukaran di waktu puncak) ia akan memberi kesan terhadap penyuraian trafik masuk ke Singapura khususnya.

"Apa yang kita akan laksanakan adalah kita hendak pastikan bahawa ketika waktu puncak tidak berlakunya pertukaran syif dan waktu kita cadangkan mungkin selepas waktu puncak. Kita akan umumkan kemudian bagaimana format yang kita akan laksanakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau CIQ BSI di sini pagi ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor Mohamad Fazli Salleh.

Beliau juga berkata sebanyak 100 lagi kakitangan baharu akan ditempatkan di CIQ BSI akhir Mei ini susulan sebanyak 231 rekrut Imigresen bakal tamat latihan pada 20 Mei ini.

Katanya, ketika ini CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan Imigresen berbanding keperluan kakitangan iaitu 1,347.

"JIM turut menempatkan sebanyak 20 pasukan tindakan pantas (QRT Team) bagi membolehkan penggantian kakitangan Imigresen dan pembukaan kaunter dilakukan secara maksimum dan tanpa gangguan sepanjang waktu puncak.

"Selain itu, tambahan 20 lagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut ditempatkan di CIQ BSI bagi membantu dan menyegerakan penyuraian trafik di Tambak Johor bagi mengelakkan berlakunya kesesakan

"Selain 100 kakitangan baharu ditempatkan di CIQ BSI, sebanyak 700 perjawatan baharu Imigresen sudah diluluskan kerajaan tahun ini dengan sebahagian besarnya akan diletakkan di CIQ BSI, KSAB selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang mengalami kekurangan kakitangan ," katanya.

Sementara itu, Ruslin berkata proses penggabunggan 38 kaunter di BSI memendekkan masa urusan setiap kenderaan yang memasuki negara ini sedang giat dilakukan.

Katanya, setakat ini sebanyak 19 kaunter sudah selesai menjalani penggabungan membabitkan urusan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan proses Touch N Go, sekali gus mampu memendekkan urusan dokumentasi masuk ke negara ini.

"Sebanyak 19 kaunter lagi sedang giat menjalani proses penggabungan yang dijangka siap tahun ini juga.

Selain itu, penambahan 20 'autogate' sedang dilaksanakan sehingga Julai ini selain penambahan ruang bas yang dijangka selesai hujung bulan di CIQ BSI sementara penambahan 33 kaunter 'Mbike' lagi sedang dilaksanakan di KSAB ketika ini," katanya.

Sebelum ini , Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz dilaporkan berkata Kerajaan Johor dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu kesesakan yang berlaku di CIQ BSI, dan KSAB.

Onn Hafiz berkata Johor dan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memperbaiki serta menambah baik sistem sedia ada, sekali gus mengurangkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

-- BERNAMA