GEORGE TOWN: Hanya kerana mahu bertemu rakan, seorang lelaki nekad berenang merentas Selat Pulau Pinang dari jeti feri di Tanjung City Marina di sini menuju ke Seberang Perai, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata lelaki berusia 28 tahun itu berbuat demikian selepas gagal mendapatkan kelulusan rentas daerah daripada polis kerana tiada alasan munasabah.

Soffian berkata lelaki itu bagaimanapun kemudiannya berpatah balik menghala ke jeti kerana keletihan sebelum diselamatkan petugas Penang Port Sdn Bhd dalam kejadian jam 6 petang itu.


'Lautan luas sanggup ku renangi' - Lelaki nekad berenang rentas selat untuk bertemu rakan

"Berdasarkan temu bual yang dijalankan, lelaki berkenaan memberitahu dia nekad untuk berenang ke Seberang Perai kerana mahu berjumpa rakannya selepas gagal mendapatkan kelulusan permit rentas daerah dari pihak polis.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki berkenaan, sebaliknya dia hanya menyatakan butiran peribadi seperti nama dan nombor kad pengenalan secara lisan sahaja.

"Semakan dibuat mendapati lelaki itu berasal dari Bayan Lepas Pulau Pinang dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Soffian berkata, pihak polis berjaya menghubungi ibu lelaki tersebut dan dia memberitahu anaknya itu sudah lama tidak pulang  ke rumah dan dipercayai hidup sebagai gelandangan selain mempunyai masalah ketagihan dadah. 

Katanya, lelaki itu kini sedang menerima rawatan di  Hospital Pulau Pinang (HPP) dan pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu mengalami patah tangan kanan.

Soffian berkata siasatan lanjut berhubung insiden itu akan dilakukan selepas lelaki berkenaan selesai menjalani rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital.

Pada Rabu, tular video dan beberapa keping gambar di media sosial seorang lelaki yang dikatakan telah terjun dari feri kerana tidak dibenarkan menaiki feri disebabkan tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri.

Lelaki dipercayai dari George Town itu mahu menyeberang ke Seberang Perai.



Namun dia yang terapung dalam keadaan lemah kemudian diselamatkan pekerja Penang Port Sdn Bhd.